PITAS2030 sudah capai 75 peratus, MB yakin selesai

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu optimis mampu merealisasikan sepenuhnya Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) dalam tempoh lima tahun lagi, meskipun berdepan cabaran ekonomi dan politik semasa.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini sebanyak 75 peratus daripada 93 Program Pembangunan Berimpak Tinggi (HIPP) yang dirancang di bawah PITAS2030 sudah siap atau sedang dilaksanakan.

Katanya, daripada jumlah itu, 32 program (34.4 peratus) telah disempurnakan, 38 program (40.9 peratus) sedang giat dilaksanakan, manakala 19 program (20.4 peratus) berada pada peringkat perancangan, hanya empat program (4.3 peratus) masih di peringkat kertas konsep.

“Ini membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi kerajaan negeri bersama jentera pelaksana, agensi teknikal dan rakan strategik dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat di setiap pelosok Terengganu dan kita sedar cabaran tentang ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.

“Walaupun kita berada di negeri Terengganu dan geopolitik antarabangsa berlaku jauh di sana, di Amerika Syarikat dan di Asia Barat dan Eropah sendiri tetapi oleh kerana zaman kesalinghubungan antara kegiatan ekonomi negara-negara yang berada di atas dunia ini, tidak dapat tidak ianya akan mempengaruhi ketidaktentuan ekonomi dalam negeri kita.

“Namun demikian, dengan pendekatan yang proaktif dan berdaya tahan, kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai langkah strategik demi memastikan PITAS2030 dapat dijayakan sepenuhnya dalam tempoh yang berbaki lima tahun lagi ini dan tentunya kita akan melihat dari segi keutamaan atau pun mana yang perlu kita dahulukan untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Azmi Maarof (PAS-Langkap) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Azmi meminta kerajaan negeri menyatakan setakat manakah pencapaian PITAS2030 sehingga kini dan apakah kerajaan negeri optimis ianya dapat dijayakan sepenuhnya dengan keadaan situasi ekonomi dan politik kini dengan berbaki lima tahun lagi dari sekarang.

Menurut Ahmad Samsuri, PITAS2030 yang dirangka khusus untuk memacu pembangunan menyeluruh negeri turut diselaraskan dengan setiap portfolio Exco, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di seluruh Terengganu. – HARAKAHDAILY 8/7/2025

- Advertisement -