
KANGAR: Pengerusi Kebajikan, Kesihatan dan Keusahawanan Negeri, Datin Marzita Mansor hadir menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Tok Kandang, kelmarin.
Program Ziarah dan Penyerahan Bantuan Pemulihan Bencana itu turut disertai wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Shariman Hashim dan Jaliza Mahamud.
Kehadiran mereka adalah bagi menyerahkan sumbangan kepada mangsa, Rasilah Isa sekeluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat rumah mereka rosak dalam kebakaran baru-baru ini.
Sebagai tanda keprihatinan, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli turut menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan dapur melalui Setiausaha Politik Menteri Besar, Mustaqim Abdullah.
Bantuan disampaikan itu adalah komitmen Kerajaan Negeri Perlis membantu rakyat yang ditimpa musibah yang bertujuan meringankan beban dari aspek fizikal, emosi dan kewangan ditanggung mangsa sekeluarga.
Dalam pada itu, Datin Marzita memaklumkan bahawa pihak JKM Perlis telah berhubung dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi tindakan susulan yang sewajarnya.
“Sama-samalah kita berganding bahu membantu mereka yang diuji dengan musibah. Semoga segala urusan mereka dipermudahkan dan kehidupan kembali pulih seperti sediakala,” ujarnya penuh harapan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti, Kampung dan Penduduk (JPKKP) Kampung Tok Kandang, Abdul Rahman Bahari. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











