
JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru mengecam keras kenyataan Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap menghina malaikat dan bertentangan dengan prinsip akidah Islam menerusi satu ucapan yang tular.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Johor Bahru, Arif Ainuddin Mohd Razali berkata, tindakan menjadikan malaikat sebagai perbandingan demi menonjolkan ketabahan politik diri adalah perbuatan menunggang agama yang melampaui batas.
“Ucapan ini bukan sahaja tidak beradab, malah bertentangan dengan prinsip akidah Islam. Menyuarakan atau menjadikan contoh bahawa Allah akan melaksanakan sesuatu yang mustahil seperti bertanyakan atau memerintahkan malaikat menjadi Presiden Umno adalah sesuatu yang amat merbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, malaikat ialah makhluk maksum yang tidak pernah derhaka terhadap perintah Allah sebagaimana ditegaskan dalam firman-Nya, “Mereka tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim: 6)
Tambah Arif, pihaknya turut kesal dengan reaksi para penyokong yang menyambut ucapan tersebut dengan sorakan dan ketawa, seolah-olah perkara suci dalam agama boleh dijadikan bahan gurauan politik.
“Dewan Pemuda PAS Johor Bahru menyeru Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi agar memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam atas kenyataan tidak wajar ini. Kami juga menggesa pihak berautoriti agama agar mengeluarkan pandangan rasmi sebagai respon kepada kenyataan ini.
“Kami menyeru seluruh umat Islam tanpa mengira ideologi politik agar kembali menjaga adab dan kehormatan terhadap agama. Berpolitiklah dengan matang dan sejahtera. Kami di Dewan Pemuda PAS Johor Bahru akan terus berdiri mempertahankan kesucian Islam daripada dipermain atau dijadikan bahan gurauan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, Zahid ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sri Gading pada Sabtu mendakwa parti itu sebelum ini diuji dengan pelbagai perkara antaranya apabila harta dirampas dan akaun dibeku.
“Saya dan ramai pemimpin diuji. Kalau malaikat pun dijadikan Presiden Umno ketika itu, mungkin dia pun lari (pada sebelah) malam. Tapi rakyat tetap pertahan Umno. Kita tak perlukan orang bijaksana tetapi hanya menyusahkan.
“Kita tidak perlu orang kaya tetapi menghabiskan. Kita hanya mahukan ahli yang amanah dan taat setia kepada parti,” dakwanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











