
HIDUP ini bukan hanya ada hitam dan putih! Kanvas kehidupan yang berwarna warni menjadikan mozaik dunia ini sangat indah berpelangi. Menelusi lorong-lorong waktu saat bersama anak-anak muda dalam Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan seolah-olah memugar kembali kenangan tiga dekad lampau saat bermukim di banir kota raya yang tidak pernah tidur walau sesaat.
Kota ranggi metropolitan yang menjadi jantung nadi negara ini yang menguja akal. Kota raya dengan sejuta tarikan menebar pesona, pancaran lampu-lampu neon, pesta lampu merah seawal pagi ditutup kemacetan kemuncak di waktu sore bandar raya dengan sejuta wajah.
Kota raya yang menipu daya, juga menggilap kompetensi insan, melahirkan sosok pejuang pelbagai ideologi serta mengubah karakter manusia.
Jika dalam dekad 1950-an dan 1960-an, lahan kota raya ini adalah sarang membiak penganut sosialisme seperti mana kota-kota besar dunia yang lain seperti London, Vienna, Sao Paolo, Kaherah, Tripoli, Paris, Algiers dan lain-lain. Namun setelah berlaku transformasi zaman kebangkitan semula Islam dekad 1970-an, kota raya negara-negara umat Islam mula menjadi lubuk-lubuk pencetak kader-kader gerakan Islam, begitulah juga Kuala Lumpur, kota seribu mimpi!
Kuala Lumpur tidaklah seburuk lorong belakang mati yang menternak kuman sifilis, herpes, gonorhea, HIV serta pelbagai penyakit kelamin yang lain; di lahannya juga ada ribuan para asatizah serta ilmuan yang berkongsi ilmu. Masjid-masjid dan surau-suraunya jauh menandingi masjid-masjid dan surau-surau di kampung kerana keimarahannya dengan bervariasi program mengislah masyarakat.
Begitu juga bagi ahli ahli-ahli PAS di Lembah Klang, banjiran asatizah keluaran Mesir, Jordan, Madinah, Sub-Kontinen, Yaman, Syria, keluaran pengajian pondok-pondok, juga kampus tempatan telah merancakkan usaha pembinaan fikrah para amilin. Masjid-masjid dan surau-surau telah menjadi kampus terbuka bagi memandaikan umat. Pemuda PAS Lembah Klang telah mendapat manfaat besar daripada banjiran ilmuan Islam di tengah kota raya ini. Aktiviti-aktiviti perkaderan dakwah seperti usrah, mukhayyam, tamrin, liqa fikri dan jaulah terus merimbun dan menyala obor fikrah para pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Kota raya ini dalam gelembung pengupayaan ekonomi negara, turut menyaksikan kerancakan program-program dakwah dan kemeriahan program amal Islami. PAS beribu pejabat di kota ini, antaranya di Kampung Baru, Jalan Pahang Barat, Lorong Haji Hasan Taman Melewar, seterusnya di Jalan Raja Laut. Gerakan Darul Arqam yang menggerakkan kantung ekonomi di Sungai Penchala Segambut, jamaah Tabligh di Masjid India seterusnya ke Markas Seri Petaling, pelbagai NGO Islam bersarang di kota raya.
Pasca reformasi 1998 juga PAS menerima banjiran ahli-ahli NGO yang akhirnya juga menelur sedikit masalah pasca PRU 2013. Kota raya adalah medan persaingan menebar pengaruh dan mencetak kader.
Masjid-masjid dan surau-surau Lembah Klang menjadi kubu orang PAS, bersaing sengit dengan karkun Tabligh yang mengimarahkan masjid dan surau. Para asatizah berdatangan dari seluruh pelosok negara, mengisi pengajian agama di pejabat-pejabat, kilang-kilang, masjid-masjid dan surau-surau serta rumah-rumah orang berada yang budiman dan sebagainya.
Pimpinan PAS agak bebas berkongsi ilmu dengan masyarakat kota yang agak terbuka pemikiran berbanding dengan kawasan desa yang menjadi kubu Umno satu ketika dahulu. Pimpinan PAS dijemput untuk menebarkan ilmu dengan kepakaran yang mereka miliki, antaranya Ustaz Fadhil Noor, Ustaz Nik Amar, Ustaz Sidek Noor, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, berkuliah tetap di Masjid Ar Rahman, Universiti Malaya. Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi berkuliah tetap di Masjid Mujahidin, Damansara, begitulah aktivis-aktivis PAS dengan pelbagai kepakaran ilmu diniyyah.
Pusat gerakan pemuda PAS di Wilayah Persekutuan pastilah Markas Tarbiah, Taman Melewar bukan sekadar bangunan menempatkan Pejabat Agung, Dewan Pemuda dan Dewan Ulamak. Markas ini juga tempat berlangsung Muktamar Tahunan PAS Pusat banyak kali, termasuk Muktamar Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Saban minggu ceramah-ceramah perdana diadakan membariskan pimpinan PAS malah rakan sekutu PAS tatkala di zaman Barisan Alternatif.
Paling ramai dalam sejarah, himpunan paling besar ialah pelancaran GERAK pada April 1999. Gabungan parti-parti politik, NGO serta NGI yang digalangi apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendekam dalam penjara. Hampir 80,000 orang atau lebih rakyat mengerumuni markas tarbiah. Penulis dan rakan-rakan aktivis dalam Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Pemuda PAS Selangor melaksanakan pelbagai urusan program, daripada hebahan, logistik, kutipan derma sehinggalah urusan membersihkan sampah sarap pada hari program berlangsung sehinggalah keesokan harinya.
Penubuhan GERAK melahirkan momentum kebangkitan rakyat yang lebih tersusun sehingga PAS memetik kemanisan manis dengan kejayaan pada PRU 1999 di kawasan ‘Malay belt’.
Pasca PRU 1999, gangguan terhadap ceramah PAS telah berlangsung dengan sengit. Gangguan FRU serta pelbagai unit keselamatan antara kenangan manis di awal milenial termasuk gangguan kepada Jambori Amal di Taman Rimba Templer pada 2002. Ceramah politik dihalangi dan berlaku bentrokan dengan pihak petugas-petugas keselamatan seperti di Kampung Batu Enam, Kuala Nerus; Kuala Kedah dan lain-lain lokasi. Tangkapan kes Al Maunah juga menjadi dalih kerajaan mengganggu program-program tajnid Pemuda PAS seperti mukhayyam dan sebagainya.
Pemuda Wilayah Persekutuan selalu mengatur program outdoor mereka di Sungai Congkak, Hulu Yam, Janda Baik, Sungai Pisang dan lain-lain tempat rekreasi.
Memori indah itu terpahat tajam dalam ingatan penulis di mana tiga dekad lampau, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan antara entiti-entiti parti paling sibuk di Markas Tarbiah Pusat bila ada acara besar PAS. Penulis menggalangi jawatan Ketua Dewan Pemuda Wilayah Persekutuan, dengan pelbagai taklifan besar apabila program Lujnah PAS Pusat atau Dewan Pemuda PAS Pusat, maka ahli-ahli Pemuda Wilayah Persekutuan diwajibkan menyibuk sedari awal hingga akhir program terutamanya ketika program Muktamar PAS Pusat atau Dewan Pemuda Pusat. Pemuda mesti memastikan persiapan dewan, kutipan derma, juga memastikan tahap kebersihan di sekitar premis markas paling sempurna, ini paling memenatkan tapi menjadi kenangan paling membahagiakan.
Gelombang intriq pasca PRU 2013 juga menggeser kesan serta parut kepada Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan apabila sebahagian pemimpin telah menubuhkan PAN pada tahun 2015 apabila mereka gagal terpilih dalam Muktamar di Kuala Selangor. Segalanya menjadi kenangan indah buat kami, anak muda yang diasuh oleh tokoh tajnid dalam harakatul ummah ini. PAN berjaya mengheret sebahagian aktivis serta mantan aktivis Pemuda Wilayah Persekutuan kerana Mohamad Sabu semenjak awal zaman muda banyak terlibat di Lembah Klang. Wilayah Persekutuan pada awal 1980-an sebelum munculnya gagasan kepimpinan ulama hampir menyaksikan penubuhan Parti Negara Islam Malaysia (PNIM) oleh kader-kader dakwah yang pulang belajar dari luar negara.
Pelbagai program dihidupkan oleh anak-anak muda di Markas Tarbiah Taman Melewar, Markas Titiwangsa, Markas Bandar Tun Razak, Markas Tarbiah Kepong, Seputeh, Wangsa Maju, Markaz Lembah Pantai, Segambut serta lain-lain kawasan telah mengacuankan kami sebagai ‘rijalul dakwah’.
Dalam dekad 1990-an serta awal millennial, jika ada demonstrasi, pemuda-pemuda terbaik daripada Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang akan menjadi perisai kepada pemimpin, tembakan gas pemedih mata atau belantan FRU maka para amilin inilah yang akan berdada terlebih dahulu dengan aparat keamanan. Menjadi ketua DPP Wilayah Persekutuan bermakna akan sentiasa dimata-matai oleh ejen Cawangan Khas dan sentiasa berurusan di IPD Dang Wangi! Sangat nostalgik!
Minggu ini penulis berada dalam acara tahunan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, dijemput untuk merasmikan Muktamar kali ke-40 yang berlangsung di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. Menatapi guratan wajah yang jernih anak-anak muda Wilayah Persekutuan yang menjadi payung kepada 13 kawasan dalam Wilayah Persekutuan yang mula ditubuhkan pada tahun 1974. Jika dekad 1990-an, hanya ada 10 kawasan dengan cawangan-cawangan berpusat di penempatan setinggan, rumah pangsa dan kampung-kampung warisan. Kini anak-anak muda urban ini berperawakan kelompok kelas menengah Melayu berpendidikan, segak dengan bersampin, elegan serta nampak berwibawa. Mereka aktif menggerakkan institusi-institusi pendidikan di kota raya ini, samada pra sekolah Islam atau sekolah rendah Islam integrasi.
Jasa besar Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan kepada PAS secara keseluruhannya ialah sebagai sekolah perkaderan yang membekalkan tenaga mahir gerakan Islam. Ratusan tokoh PAS seperti Ustaz Mohamad Ismail, Dato’ Nik Amar, Roslan Zainal, Ir. Khairil Nizam, Kamaruzaman Mohamad, Ustaz Baihaqiey Atiqullah, Drs. Syed Mohamed, Dr. Fadlullah Shuib, Dr. Fadli Ghani, Dato’ Rahimin Bani, Tuan Guru Abdul Rahman Jaafar, Hasanudin Hasan, Dr. Nordin Sakke, Dr. Rainey Azmi, serta lain-lain figura. Kelebihan besar kepada Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ialah mereka berdekatan dengan kampus-kampus universiti-universiti awam dan swasta. Alumni kampus luar negara juga ramai berkumpul di Lembah Klang serta mudah terlibat dengan pelbagai program.
Moga Allah merahmati usaha gigih seluruh amilin yang berusaha menjadi kota raya ini sebagai pusat kebangkitan umat Islam, juga diaspora fikrah yang menebar ke pelbagai lokasi tanah air ini.
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 8/7/2025












