
NEGARA dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila enam sekeluarga ditemukan lemas di dalam sebuah kereta yang tenggelam di Sungai Korok, Kampung Kemboja, dekat Jerlun, Kedah.
Kejadian yang meragut nyawa sepasang suami isteri dan empat anak mereka itu bukan sahaja meruntun perasaan rakyat Malaysia, malah menjadi satu peringatan besar buat kita semua sebagai hamba Allah.
Mangsa terdiri daripada Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, dan anak-anak mereka iaitu Nur Aisyah Alani, 9, Muhammad Affan Haziq, 6, Muhammad Ardani Hadi, 4 dan bayi mereka, Muhammad Aqeef Adni berusia enam bulan.
Mereka dilaporkan hilang sejak malam sebelumnya selepas bermalam di Jitra sebelum kenderaan mereka ditemui keesokan harinya di dasar sungai, kira-kira 15 meter dari jalan utama.
Apa yang lebih memilukan, keenam-enam mereka ditemukan berpelukan di tempat duduk belakang kereta menggambarkan saat-saat getir pasangan suami isteri itu berusaha sedaya mungkin untuk menyelamatkan anak-anak mereka daripada lemas.
Pintu dan tingkap kenderaan tidak sempat dibuka, menunjukkan mereka terperangkap dalam kecemasan yang amat mencemaskan.
Bayangkan detik cemas yang dilalui ibu dan ayah itu. Dalam masa yang sangat terhad, mereka perlu membuat keputusan pantas.
Mahu menyelamatkan anak-anak terlebih dahulu, atau mencari ruang udara untuk terus hidup? Namun naluri keibubapaan yang begitu kuat menjadikan nyawa mereka sendiri bukan lagi keutamaan.
Mereka bertarung, bukan untuk diri sendiri, tetapi demi nyawa anak-anak yang tidak tahu apa-apa.
Pasukan bomba yang menjalankan operasi menyelamat terpaksa memecahkan cermin serta memotong bahagian bumbung kenderaan untuk mengeluarkan semua mangsa.
Menurut laporan forensik, tiada sebarang kesan kecederaan atau hentakan kuat, menunjukkan mereka tidak terbunuh akibat kemalangan jalan raya tetapi kerana lemas.
Tragedi ini membuka persoalan besar tentang tahap keselamatan jalan raya, terutamanya di kawasan berisiko tinggi seperti tebing sungai.
Berdasarkan siasatan awal, tiada sebarang penghadang jalan dipasang di lokasi kejadian yang boleh menghalang kenderaan daripada terbabas ke dalam sungai.
Ini adalah satu kelalaian serius yang perlu diberi perhatian segera. Kita tidak mahu ada lagi nyawa melayang akibat kecuaian dalam penyelenggaraan dan pembinaan infrastruktur.
Kementerian dan pihak berkuasa tempatan harus bertindak pantas mengenal pasti kawasan berisiko serta melakukan audit keselamatan bagi mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang.
Selain daripada tindakan pihak berkuasa, kita sebagai masyarakat juga tidak boleh berdiam diri. Sikap prihatin, cakna terhadap persekitaran dan cepat bertindak apabila melihat sesuatu yang luar biasa adalah amat penting.
Dalam tragedi ini, laporan kehilangan oleh keluarga telah mempercepatkan pencarian oleh pihak berkuasa. Ia membuktikan bahawa kerjasama masyarakat dalam situasi kecemasan sangat besar nilainya.
Di sebalik semua ini, ada satu aspek penting yang perlu diketengahkan dan diajarkan secara meluas iaitu kaedah menyelamatkan diri sekiranya terperangkap dalam kereta yang tenggelam dalam air.
Ramai tidak tahu, dan tidak bersedia. Dalam situasi seperti ini, tindakan perlu dilakukan dengan pantas. Langkah pertama ialah jangan panik.
Tenangkan diri dan segera buka tali pinggang keledar. Jangan cuba buka pintu, kerana tekanan air dari luar jauh lebih kuat berbanding dari dalam. Fokus kepada membuka tingkap ini adalah laluan keluar yang paling cepat.
Jika tingkap automatik tidak berfungsi akibat sistem elektrik rosak, gunakan alat pemecah cermin yang sepatutnya disimpan di tempat mudah dicapai dalam kereta. Pecahkan cermin sisi, bukan cermin depan. Ajar anak-anak bagaimana memecahkan cermin atau menolak keluar melalui tingkap.
Dalam masa kecemasan, setiap saat sangat berharga.
Tragedi ini adalah panggilan kesedaran buat kita semua. Hidup di dunia ini hanyalah persinggahan. Kita tidak tahu bila ajal akan menjemput. Adakah kita bersedia? Firman Allah dalam surah Al-Mulk ayat 2:
“Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
Sebagai hamba Allah, kita harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. Kasih seorang ibu dan ayah yang sanggup menggadaikan nyawa demi anak-anak adalah manifestasi cinta yang lahir dari fitrah insani yang Allah titipkan dalam diri setiap manusia.
Dan apabila seluruh keluarga itu pergi bersama-sama, kita tahu ia bukan sekadar kehilangan, tetapi satu pengajaran penuh makna. Dalam kita bersimpati, jangan lupa untuk membantu waris yang masih hidup.
Anak sulung mangsa, Putri Qisya, 12 tahun, tidak bersama mereka dalam perjalanan itu. Kini, beliau menjadi yatim piatu sekelip mata. Sebagai masyarakat prihatin, sokongan moral dan material amat diperlukan.
Pendidikan dan kehidupan anak ini mesti diteruskan. Bantuan dari kerajaan, pertubuhan kebajikan serta masyarakat umum amat dikehendaki bagi memastikan beliau terus membesar dalam keadaan terpelihara.
Tragedi Sungai Korok bukan sekadar satu kisah duka. Ia adalah panggilan untuk kita semua bangkit memperbaiki sistem keselamatan, meningkatkan kepekaan sosial, dan memperbaharui hubungan kita dengan Allah SWT.
Marilah kita jadikan kisah ini sebagai motivasi untuk berbuat lebih baik, menunaikan tanggungjawab sesama insan, dan tidak memandang remeh aspek keselamatan di sekeliling kita.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh semua mangsa dan memberikan kekuatan kepada seluruh keluarga yang ditinggalkan. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.











