
KLUANG: Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang, Mohd Nor Mohamad menyifatkan ucapan Presiden Umno yang mengaitkan malaikat dengan pelantikan jawatan presiden parti itu sebagai keterlaluan dan tidak wajar.
Menurut beliau, kenyataan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyentuh unsur ghaib seperti peranan malaikat dalam konteks politik kepartian itu perlu diteliti secara serius dari sudut akidah dan adab beragama.
“Malaikat merupakan makhluk suci yang disebut secara jelas dalam al-Quran dan hadis serta termasuk dalam rukun iman yang enam. Mengaitkan para malaikat dengan proses pelantikan jawatan Presiden Umno boleh mencetuskan kekeliruan.
“Dalam kalangan umat Islam dan membuka ruang kepada penghinaan terhadap kesucian agama. Sedangkan jawatan dalam organisasi ini hendaklah memberi ruang kepada perbincangan kepada ahli,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Fatwa Kebangsaan meneliti ucapan tersebut dan mengeluarkan pandangan rasmi agar perkara seumpama itu tidak berulang.
“Umat Islam tidak boleh dibiasakan dengan penggunaan simbol dan istilah agama dalam konteks yang tidak sewajarnya, lebih-lebih lagi untuk meraih simpati politik. Saya juga menyeru kepada semua pihak agar lebih berhati-hati.
“Dalam mengeluarkan kenyataan dan menjaga maruah agama Islam dalam ucapan mereka. Politik bukanlah medan mempermainkan hal aqidah tetapi satu amanah yang menuntut kejujuran, adab dan tanggungjawab moral yang tinggi,” katanya.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pada Sabtu mendakwa Umno memerlukan ahli yang setia kepada parti dan tidak lari apabila diuji termasuk apabila tidak lagi menjadi kerajaan.
“Saya dan ramai pemimpin diuji. Kalau malaikat pun dijadikan Presiden Umno ketika itu, mungkin dia pun lari (pada sebelah) malam. Tapi rakyat tetap pertahan Umno. Kita tak perlukan orang bijaksana tetapi hanya menyusahkan.
“Kita tidak perlu orang kaya tetapi menghabiskan. Kita hanya mahukan ahli yang amanah dan taat setia kepada parti,” dakwanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











