
UALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyarankan agar semua pihak khususnya pemimpin parti politik agar lebih berhati-hati apabila menyampaikan ucapan di hadapan khalayak ramai terutamanya apabila menyentuh nama Allah SWT dan Malaikat.
Ketuanya, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, amat mendukacitakan apabila ucapan bersifat mendabik dada sebegitu mengaitkan pula nama Allah SWT dan para Malaikat, walhal apa diucapkan itu dibimbangi boleh menggelincirkan iman seorang yang beragama Islam.
“Dewan Ulamak PAS meneliti ucapan seorang pemimpin parti politik, (iaitu) ‘kalau Allah SWT memerintahkan Malaikat menjadi Presiden, Malaikat pun lari malam..’, sebagai ucapan yang mengangkat diri dengan penuh kesombongan.
“Namun, hakikatnya adalah tidak layak untuk beliau membuat perbandingan menggunakan nama Allah SWT mahupun Malaikat yang disebut dalam ucapannya,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, lebih mendukacitakan apabila ungkapan ‘kalau’ Allah SWT menjadikan Malaikat sebagai Presiden, Malaikat akan lari malam memberikan gambaran dan perspektif yang negatif terhadap dzat Allah SWT yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui Segala-Galanya dan Maha Mentadbir alam ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, ucapan tersebut juga memberikan suatu konotasi negatif terhadap peranan Malaikat yang merupakan golongan taat terhadap apa jua perintah-Nya, manakala perbandingan tersebut terlalu bermudah-mudah dan bahaya kerana ia melibatkan teras akidah itu sendiri.
“Dewan Ulamak PAS juga ingin mengingatkan pemimpin berkenaan bahawa tidak ada apa yang perlu dibanggakan dengan pertuduhan yang telah dihadapkan terhadap beliau.
“Kes beliau telah melepasi fasa prima facie sebelum ‘diselamatkan’ oleh Peguam Negara ketika itu yang mahu menarik balik kes tanpa sebab yang kukuh.
“Ia adalah peristiwa hitam terhadap masa depan integriti dalam negara. Justeru, bagaimana mungkin ia harus dikenang sebagai suatu ‘penyelamat’ kepada partinya sendiri?” soalnya.
Beliau berkata, dalam soal keterlanjuran ucapan tersebut, Dewan Ulamak PAS menyeru pemimpin terbabit agar mengungkapkan istighfar dan memohon keampunan daripada Ilahi andai ia suatu yang tidak disengajakan keluar daripada mulut beliau.
Katanya, perkara itu seharusnya menjadi iktibar kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati apabila mengungkapkan sesuatu yang melibatkan agama.
“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











