Tragedi Sg Korok: MB Perlis hadir solat jenazah

- Advertisement -

JERLUN: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli turut hadir menunaikan solat jenazah enam sekeluarga yang terkorban dalam tragedi lemas di Sungai Korok, di sini semalam.

- Advertisement -

Solat jenazah tersebut diadakan di Masjid At-Taqwa dan turut dihadiri Ahli Dewan Negara merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Senator Baharuddin Ahmad, serta Ahli Majlis Perbandaran Kangar, Noor Affizal Mohd Fadzil.

Dalam kesempatan itu, Mohd Shukri turut menyantuni anak sulung kepada pasangan mangsa, Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang terselamat kerana tidak bersama keluarga ketika kejadian.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka dan memberikan kekuatan kepada anak sulung mereka yang ditinggalkan,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau.

Terdahulu, negara digemparkan dengan kehilangan enam sekeluarga sejak Sabtu lalu selepas tidak pulang ke rumah mereka di Jerlun, selepas mengunjungi saudara di Taman Aman, Jitra.

Penemuan mengejutkan sebuah kenderaan di dasar sungai di Sungai Korok pagi semalam membawa kepada penemuan semua mangsa di dalam kereta berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat diketuai pasukan Bomba dan Penyelamat Jitra berjaya mengeluarkan kesemua mangsa daripada kenderaan yang tenggelam.

Jenazah semua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid At-Taqwa. – HARAKAHDAILY 8/7/2025

- Advertisement -