PMX ‘buat-buat sibuk’ untuk umum ‘potensi pelaburan’?

Malaysia satu-satunya negara ASEAN alami kenaikan tarif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan mengapa Malaysia menjadi satu-satunya negara ASEAN yang mencatatkan kenaikan tarif balas oleh Amerika Syarikat, berbanding negara jiran lain.

- Advertisement -

Beliau berkata, dalam perkembangan terkini kadar tarif balas oleh Amerika Syarikat, Malaysia mengalami kenaikan tarif daripada 24 peratus kepada 25 peratus.

Sedangkan katanya, negara-negara jiran seperti Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar berjaya menurunkan kadar tarif selepas perundingan, manakala Thailand, Indonesia, Filipina, Brunei dan Singapura pula dikenakan kadar tetap tanpa sebarang kenaikan.

“Melihat kepada angka-angka ini, timbul persoalan yang wajar, mengapa Malaysia menjadi satu-satunya negara yang mengalami kenaikan tarif. Adakah ruang rundingan telah dimanfaatkan sepenuhnya?

“Apakah strategi kita dalam berhadapan dengan dasar perdagangan luar yang semakin mencabar ini?” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kesibukan Perdana Menteri ke luar negara tidak turut dimanfaatkan bagi tujuan rundingan berkaitan isu tarif tersebut.

“Atau sebenarnya ‘buat-buat sibuk’ hanya untuk umum ‘potensi pelaburan’?” bidasnya susulan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus terhadap Malaysia akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos.

Langkah itu dikatakan perlu bagi melindungi industri tempatan AS daripada amalan perdagangan tidak adil, meskipun Malaysia sedang berunding sejak April lalu bagi mengurangkan tarif sebelumnya.

Trump turut menyatakan tarif hanya boleh dielakkan jika Malaysia memindahkan pengeluaran ke AS, dan tarif tambahan akan dikenakan jika Malaysia bertindak balas. – HARAKAHDAILY 8/7/2025

- Advertisement -