
KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu melaksanakan pemasangan kolar satelit pada gajah liar sebagai langkah awal bagi menangani konflik antara manusia dan haiwan itu.
Dato’ Dr Azman Ibrahim, pemasangan kolar satelit ini berperanan sebagai sistem amaran awal (early warning system) untuk mengesan kedudukan gajah sebelum ia memasuki kawasan terlibat.
“Pemasangan kolar satelit gajah bertujuan memantau pergerakkan dan perilaku gajah,” katanya ketika menjawab soalan Azmi Maarof (PAS-Langkap) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Beliau minta menyatakan usaha jangka panjang dan pendek sedang atau akan diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani isu pencerobohan gajah liar yang merosakkan tanaman penduduk, selain daripada kaedah sedia ada seperti menghalau, pemasangan pagar elektrik dan kaedah tangkap dan pindah.
Sehingga kini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri itu, dua kolar satelit telah dipasang di negeri ini, dengan satu daripadanya masih aktif iaitu di Ladang TDM, Cherul.
Selain pemasangan kolar, beliau berkata, beberapa langkah lain turut dilaksanakan seperti penubuhan Pasukan Basong Rangers yang berperanan memantau dan meronda kawasan panas (hotspot) laluan gajah.
“Penubuhan Pasukan Basong Rangers adalah sebagai langkah pencegahan awal bagi konflik antara gajah dan manusia di mana pemantauan dan rondaan oleh komuniti setempat dilaksanakan di kawasan panas laluan gajah.
“Sekiranya berlaku serangan gajah, petugas-petugas yang telah dilantik akan terus merujuk kepada pihak PERHILITAN untuk tindakan menghalau dan kaedah-kaedah yang bersesuaian.
“Selain daripada itu, operasi rondaan bersepadu juga akan dilaksanakan secara berkala sekiranya mendapati terdapat kumpulan-kumpulan gajah yang berada di dalam kampung,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengambil pendekatan jangka panjang dengan menanam rumput napier sebagai ‘food bank’ di kawasan bekas pembalakan dan ladang.
“Ini adalah sebagai langkah jangka panjang untuk mengelakkan mitigasi gajah ke kawasan luar habitat asal dalam menangani konflik manusia-gajah,” katanya.
Di samping itu, kata beliau, pemasangan lampu di kawasan kampung turut dilakukan kerana gajah sensitif terhadap cahaya, sekali gus membantu mengurangkan risiko serangan.
Menurut Azman, jika semua kaedah sedia ada tidak berkesan, tindakan terakhir seperti kawalan populasi termasuk tembak mati atau penakaian akan dipertimbangkan sebagai langkah terakhir.
“Tindakan kawalan populasi iaitu tembak mati atau penakaian merupakan tindakan yang akan diambil sekiranya tindakan-tindakan lain yang telah dibuat tidak berkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











