
ALOR SETAR: Kayuhan 916 15th Cycle for Health 2025 yang akan berlangsung pada 16 September depan menyasarkan lebih 1,000 peserta termasuk dari luar negara, sekali gus memberi impak positif kepada kempen Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).
Program berbasikal tahunan anjuran LM Biker Club Alor Setar ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi salah satu inisiatif pelancongan aktif memperkenalkan keindahan dan keunikan negeri Kedah kepada masyarakat tempatan serta pelancong.
Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin di Indah Utara Auto, Jalan Gangsa, di sini kelmarin.
“Edisi kali ini membawa mesej kesihatan, kekeluargaan dan kecintaan kepada negeri Kedah. Ia selari dengan usaha kerajaan negeri menjadikan pelancongan sukan dan kesihatan sebagai segmen penting dalam industri pelancongan negeri,” ujarnya.
Kayuhan sejauh 60 kilometer itu bakal melalui laluan menarik sekitar bandar Alor Setar termasuk Jalan Gangsa, Sungai Mati, Pokok Sena, Kebun 500, Rumah Kelahiran Tun Mahathir, Masjid Zahir sebelum kembali semula ke lokasi permulaan.
Laluan kayuhan turut menampilkan pemandangan sawah padi yang menghijau, perkampungan tradisional serta lokasi-lokasi ikonik yang menjadi tarikan pelancong, selaras dengan tema TMK 2025 iaitu Experience Kedah.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya dan Pengerusi LM Biker Club Alor Setar, Poh Cheng Hai serta Pengarah Urusan Isuzu Indah Utara Auto Sdn Bhd, Poh Seng Hooi.
Acara ini dijangka menjadi antara tarikan utama sempena sambutan Hari Malaysia 2025 di negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











