Industri filem perlu dibangunkan, bukan sekadar buka pawagam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa isu pawagam tidak pernah menjadi perdebatan besar dalam kalangan rakyat Kelantan, sebaliknya hanya timbul kembali apabila filem Mat Kilau mencetuskan fenomena luar biasa.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS itu berkata, ketika itu terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan meniup sentimen seolah-olah rakyat Kelantan dinafikan hak menonton filem di pawagam, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya.

“Jika benar ada hasrat untuk melihat industri filem berkembang, tumpuan sepatutnya diberikan kepada penghasilan filem yang berkualiti, patuh syariah dan sarat nilai. Filem seperti Mat Kilau tidak seharusnya muncul sekali-sekala dalam tempoh dua tiga tahun,” ujarnya.

Beliau berkata, layar perfileman seharusnya diisi dengan karya berterusan yang membina budaya dan mendidik masyarakat, supaya pawagam, jika wujud, menjadi ruang menyuburkan kefahaman dan bukan sekadar hiburan kosong.

Mohd Amar berkata, pendekatan kerajaan Kelantan dalam industri hiburan ialah membina dalam acuan Islam, termasuk mewajibkan papan iklan di negeri itu patuh syariah dan menggunakan tulisan Jawi yang jelas.

Katanya, dasar itu bukan sekatan tetapi ikhtiar mengangkat semula nilai budaya dan identiti bangsa, selain mencabar pereka dan syarikat tampil lebih kreatif dalam penyampaian mesej mereka.

“Hasilnya dapat dilihat, pengiklanan di Kelantan tampil sopan, tetapi tetap berkesan dan menarik,” katanya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah menyekat rakyat daripada menonton filem, sebaliknya hanya membuat dasar terhadap pawagam sebagai ruang hiburan awam yang terbuka.

Katanya, pawagam tidak wajar dijadikan kayu ukur kemajuan sesebuah negeri kerana banyak pawagam di luar Kelantan juga ditutup susulan perubahan trend hiburan dan kemunculan teknologi ‘over-the-top‘ (OTT) yang memberi lebih kuasa kepada penonton memilih kandungan, masa dan cara tontonan.

“Rakyat Kelantan sendiri tidak melihat pawagam sebagai satu keperluan mendesak. Bagi yang berhajat, ada yang ke Terengganu seisi keluarga. Ada juga yang ke Kuala Lumpur, ke pawagam bertaraf premium atau ‘lounge’ mewah.

“Itu bukan perkara luar biasa. Sama seperti mereka yang melancong ke Thailand, membeli-belah atau menikmati makanan. Rakyat Kelantan celik hiburan, tahu menilai dan punya kemampuan,” terangnya.

Beliau menyifatkan pendekatan Kelantan dalam isu pawagam sebagai berimbang dan penuh pertimbangan, bukan keputusan tergesa-gesa atau populis.

“Bahkan telah dibincangkan secara panjang lebar sejak zaman Tok Guru memimpin. Kita hanya ingin pastikan, apa jua bentuk hiburan yang dibawa, tidak merosakkan jiwa, tidak melalaikan masyarakat, dan sentiasa dalam lingkungan nilai yang kita junjung bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2025

- Advertisement -