
KUANTAN: Pelupusan hutang bekalan air Pahang berjumlah kira-kira RM2.1 bilion pada tahun 2022 bukanlah satu kejayaan, sebaliknya mencerminkan kegagalan Umno memerintah Pahang dalam menguruskan tadbir sumber asas rakyat terutama bekalan air.
Ketua Pemuda PAS Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz berkata, kerajaan negeri pimpinan Umno sebelum ini gagal menyelesaikan masalah air meskipun telah menerima pelbagai geran dan peruntukan daripada kerajaan persekutuan.
“Untuk maklumat hutang tersebut terkumpul lebih daripada RM2.1 bilion dan terpaksa memohon ihsan daripada Kerajaan Persekutuan ketika itu untuk dihapus kira melalui Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Pahang.
“Hutang itu merangkumi pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan melalui Projek Air Luar Bandar (BALB) serta pinjaman daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Pemuda PAS Pahang turut mempersoalkan bagaimana hutang sebesar itu boleh dibiar terkumpul sehingga bertahun lamanya, sedangkan isu bekalan air di negeri ini masih tidak dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Boleh perincikan status pecahan pinjaman untuk Projek Bekalan air Dan kesan kepada solusi isu air di Pahang? Lebih 60 tahun Umno memerintah Pahang, bagaimana hutang sebesar ini boleh dibiarkan terkumpul dan masalah air tidak pun selesai?
“Justeru Pemuda PAS Pahang melihat dengan apa yang berlaku ini, Ia menunjukkan bagaimana lemahnya parti yang lebih 60 tahun ini memerintah Pahang.
“Cukup-cukuplah rakyat ditipu dengan menunding jari kepada permasalahan negeri lain untuk menutup kegagalan dan kelemahan dalam menguruskan hak air rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











