
JERAI: Super Golf Farm Permaipura (SGFP) yang terletak di Bedong, bakal menjadi tarikan pelancongan dan rekreasi berpotensi tinggi di Kedah.
Tidak hanya sekadar padang golf, SGFP merupakan destinasi percutian dan rekreasi lengkap, selain menawarkan lain-lain tawaran menarik yang sesuai kepada setiap lapisan masyarakat.
Selain, golf mesra keluarga, terdapat juga mini zoo, ladang madu kelulut, ‘port’ memancing dan aktiviti memanah dan pelbagai lagi yang boleh diterokai.

Selain itu terdapat juga tapak perkhemahan kepada pengunjung yang ingin bermalam atau mengadakan aktiviti di situ.
SGFP telah disempurnakan perasmiannya oleh Che Puan Besar, Haminah Hamidun, pada majlis yang diadakan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din turut hadir mengiringi Che Puan Besar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu berkata, SGFP mampu menjadi ikon pelancongan baharu sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
“Lokasi strategik dan tarikan yang unik menjadikan tempat ini wajib disinggah oleh warga tempatan dan pelancong dari luar.

“Saya juga yakin dengan keistimewaan yang ada, prasarana dan aktiviti yang ditawarkan, ia akan menjadi salah satu lagi tarikan menarik sempena TMK 2025,” tambah beliau lagi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit dan ADUN Gurun, Baddrol Bakhtiar. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











