
PERMATANG PAUH: Seramai 60 orang ahli Umno Cawangan Bandar Perdabertindak keluar parti dan menyertai PAS yang diketuai bekas Setiausaha Umno Bahagian Bayan Baru, Tahir Merican.
Borang keahlian itu diserahkan kepada Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah, sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Permatang Pauh kali ke-48, kelmarin.
Menurut Tahir, tindakan beliau dan rakan-rakan lain keluar Umno dan menyertai PAS kerana yakin dengan perjuangan dibawa PAS terutama berkaitan prinsip serta hal-ehwal Islam di Malaysia ini.
“Malah PAS dan ahli-ahlinya juga dilihat bersungguh-sungguh melaksanakan program kebajikan kepada rakyat, walaupun tanpa diberi upah atau habuan,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua PAS Cawangan Bandar Perda, Mohammad Asree Jusoh, yang banyak memberi galakan dan memperkenalkan PAS kepada beliau dan rakan-rakan lain.
Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan berkenaan juga menyaksikan Omar Hassan kekal menerajui sebagai Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, pada majlis yang diadakan di Dewan Yusuf Ar-Rawa, Sama Gagah, di sini.
Turut hadir, Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dan Pengerusi BERSATU Pulau Pinang, Zulkifli Bakar serta Ketua ARMADA BERSATU Permatang Pauh, Izhar Shah Arif Shah. – HARAKAHDAILY 8/7/2025











