YB Rashidi bantu baik pulih rumah uzur penduduk

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Nasib sebuah keluarga besar yang tinggal di sebuah rumah uzur di Kubang Raja mendapat perhatian Rashidi Razak yang turun padang menziarahi kediaman berkenaan semalam.

- Advertisement -

Rumah dihuni Hashim Ahmad, 72, atau lebih mesra disapa Pak Lang, didiami seramai lapan orang ahli keluarga termasuk isteri, anak yang sudah berkahwin serta enam cucu yang sedang meningkat remaja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit itu berkata, pihaknya akan membina tiga bilik tambahan memandangkan kediaman tersebut sebelum ini hanya mempunyai satu bilik yang menjejaskan keselesaan ahli keluarga.

“Pak Lang suami isteri tinggal bersama anaknya yang sudah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Cucunya sudah pun di usia remaja, jadi dalam keadaan rumah begini kita ikhtiarkan buat bilik terlebih dahulu,” katanya kepada Harakahdaily.

Difahamkan, anak Pak Lang yang menjadi tonggak keluarga hanya berniaga kuih tako di pasar sehari sekitar Anak Bukit dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian serta kos membaiki rumah yang kian uzur,” tambah Rashidi.

Keadaan rumah serba kekurangan itu memerlukan tindakan segera, terutamanya demi keselesaan warga emas serta anak-anak yang sedang membesar.

Sebagai tanda keprihatinan, Rashidi turut menyampaikan sedikit sumbangan bagi membantu usaha membaik pulih rumah tersebut.

“Mudah-mudahan sumbangan ini dapat memberikan sedikit kelegaan dan menjadi permulaan ke arah kehidupan yang lebih selesa buat Pak Lang sekeluarga. InsyaAllah kerja baik pulih akan dimulakan pada minggu ini,” katanya.

Tambah beliau, usaha membantu golongan memerlukan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa demi memastikan kesejahteraan penduduk di DUN Anak Bukit terpelihara. – HARAKAHDAILY 7/7/2025

- Advertisement -