Formula Presiden Umno adakah Melayu terima?

Mahu terus bekerjasama dengan PH pada PRU16

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan Umno kini berada dalam dilema apabila Presidennya mengumumkan dua pendirian penting menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

- Advertisement -

Katanya, pertama, Umno tidak akan bertanding secara solo sebaliknya kekal bertanding atas simbol Barisan Nasional (BN) bersama rakan komponennya.

Kedua jelasnya, Umno dan BN akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan menyertai PRU16 bersama gabungan itu yang disifatkan beliau parti itu dalam dilema kerana rakan komponen BN bersuara mahu tinggalkan gabungan itu.

“MCA paling vokal kerana ia sedar ia akan menjadi parti kecil, silap-silap tidak diperuntukkan kerusi langsung. (Ia) kerana jika BN kekal bekerjasama dengan PH, kerusi-kerusi majoriti Cina dan campuran akan dibolot DAP selain PKR,” ujarnya.

Beliau berkata, Umno juga masih belum sembuh daripada serangan PH pada PRU lalu yang menuduhnya sebagai parti penyamun, perompak dan rasuah.

Ia jelasnya hingga menyaksikan kekalahan teruk dengan hanya mempertahankan 26 kerusi Parlimen, termasuk Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hampir tewas di Bagan Datuk.

“Jika dalam keadaan belum sihat ia (Umno) nekad bertanding solo, tidak mustahil ia berhadapan dengan kekalahan yang mungkin melenyapkan langsung pegangannya.

“Justeru Presiden Umno bijak memutuskan BN akan kekal bekerjasama dengan PH dalam PRU ke-16. Umno perlukan sokongan pengundi bukan Melayu. Berdasarkan PRU lalu, segmen ini dikuasai DAP.

“Terbukti dalam beberapa PRK sebelum ini, calon Umno menang bukan lagi dengan sokongan padu pengundi Melayu, sebaliknya kerana dukungan pengundi bukan Melayu.

“Maka kerjasama dengan PH yang dipayungi DAP, pada perkiraan Presidennya penting buat survival Umno,” ulas beliau.

Roslan turut mengingatkan bahawa Umno bukan lagi parti dominan seperti dahulu dan kini duduk di bawah DAP dan PKR dari sudut penguasaan kerusi Parlimen.

“Umno hari ini tidak lagi menguasai sokongan orang Melayu. Buktinya, ia kalah teruk dalam PRU lalu di kerusi-kerusi kubu kuat dan tradisinya seperti Gua Musang,

“(Termasuk) Kepala Batas, Gerik, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Parit, Pasir Salak, Maran, Kuala Krau, Rompin, Jerantut, Jasin, Tanjong Karang, Sabak Bernam, Padang Besar dan Arau,” dedahnya.

Mengulas kenyataan Ahmad Zahid ketika di Johor bahawa Umno akan merampas kembali kerusi yang dimenangi PAS dan BERSATU, Roslan berkata kenyataan itu tidak mengambil kira punca sebenar kekalahan Umno pada PRU lalu.

“Beliau dakwa kekalahan dahulu bukan kerana PAS dan BERSATU kuat tetapi isu dalamannya antaranya budaya tikam belakang dan menyalahkan pimpinan.

“Tidak pula beliau sebut Umno kalah dahulu kerana tuduhan perompak, penyamun dan rasuah yang dilabel oleh PH, rakannya hari ini,” ulasnya.

Katanya, Umno perlu jujur menerima sebab sebenar penolakan orang Melayu terhadap parti itu dan tidak boleh sekadar berharap kepada undi bukan Melayu.

“Jika semata-mata mahu menang atas sokongan bukan Melayu, maka Umno sesungguhnya telah lari jauh dari perjuangan asalnya. Sepatutnya di waktu inilah Umno berani kembali ke gelanggang asal demi maruah dan perjuangan Melayu yang pernah ia dukung dahulu.

“PAS tidak pernah lekang menghulurkan tangan agar semua parti politik Melayu mendukung agenda penyatuan ummah. Biar kuasa politik Melayu kembali kukuh dan menentukan dasar serta masa depan negara,” tegasnya.

Roslan turut mengingatkan bahawa jika benar PH dan DAP yang boleh menyelamatkan Umno menurut perkiraan Presidennya, dan jika ahli akar umbi menerimanya bulat-bulat, maka mereka perlu bersedia.

“Untuk diasak, dilanyak dan ditolak orang Melayu sekali lagi, khasnya anak muda yang kini semakin berani dan cerdik berpolitik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/7/2025

- Advertisement -