Dunia Islam Timur bentuk pakatan baharu, Alam Melayu masih berkecuali

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penulis prolifik, Alang Ibn Shukrimun meluahkan kebimbangan terhadap kecenderungan beberapa negara Arab yang dilihat semakin akrab membentuk pakatan dengan rejim Zionis, walaupun tidak secara rasmi menandatangani Abraham Accord.

- Advertisement -

“Kalau tengok berita negara Arab memang menyedihkan. Selangkah demi selangkah membentuk pakatan dengan Zionis. Walau belum menandatangani Abraham Accord, jangan ingat tak ‘join’ bermakna tak berpihak.

“Saudi, semua orang tahu dia kawan rapat Zionis. Tapi tak menandatangani pun,” ujarnya dalam satu kenyataan dalam media sosial miliknya hari ini.

Bagaimanapun, beliau melihat sedikit kelegaan apabila memerhati perkembangan dunia Islam di Timur yang kini dilihat membentuk blok bersama kuasa Timur.

“Dunia Islam Timur makin membentuk blok bersama kutub kuasa Timur. Muslim di Caucasus (Chechnya dan lain-lain), Iran, Pakistan dan kini Afghanistan,” jelasnya.

Mengulas kedudukan Taliban, beliau berkata perjuangan kumpulan itu melalui fasa turun naik apabila pada awalnya dilihat akur kepada kuasa Barat selepas menggulingkan kerajaan boneka yang disokong Amerika Syarikat (AS).

“Taliban pernah kecewakan kita sekejap. Bila berjaya gulingkan presiden boneka US (AS), dia pergi terima dana US pula, mungkin mengharap kerajaan baru mereka diiktiraf macam yang sedang Golani (Presiden baharu Syria) usahakan.

“Tiga tahun juga ‘dingdong’, akhirnya berpatah arang dengan kuasa Barat. Russia jadi sekutu seterusnya,” kupasnya.

Menurut beliau, Taliban yang dulunya dicipta oleh AS untuk menentang Soviet ketika era Perang Dingin, kini berubah menjadi entiti yang lebih matang dan memahami realiti geopolitik semasa.

“Zaman Soviet, Talibanlah dicipta US untuk hadap Perang Dingin. Tapi hari ini Taliban (pelajar) dah jadi Mualliman (guru), mereka faham Rusia bukan lagi Soviet, tapi sekutu berpotensi untuk hadap Dunia Barat,” ulasnya.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan kedudukan Alam Melayu yang masih bersikap berkecuali dalam percaturan kuasa dunia hari ini.

“Tinggal lagi Alam Melayu di benua Timur ini yang masih berkecuali. Apakah akan selama-lamanya berkecuali? Soalan yang patut kalian sendiri jawab,” katanya.

Terdahulu media antarabangsa melaporkan Rusia menjadi negara pertama mengiktiraf Kerajaan Taliban di Afghanistan sejak 2021 dengan menerima duta rasmi dari kumpulan itu.

Langkah itu dijangka memperkukuh kerjasama dua hala terutama dalam bidang ekonomi, tenaga, pengangkutan dan keselamatan. – HARAKAHDAILY 7/7/2025

- Advertisement -