
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin mengingatkan bahawa kemenangan adalah satu tanggungjawab dan bukan untuk bermegah-megah atau mencari kepentingan dunia.
“Ingatlah bahawa kemenangan itu sebagai suatu tanggungjawab. Tak habis di dunia ini, kita akan disoal, apa yang kamu buat? Dengan apa yang kamu tahu dengan amanah ini? Perbicaraan di hadapan Allah SWT.
“Apabila kita anggap ini sebagai satu amanah, maka ingatlah bahawa di sebalik itu ada taba’ahnya. Taba’ah yang bawa makna ikutan tentang apa yang kita buat,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Tuan Guru amat mengharapkan agar matlamat perjuangan bukanlah kemenangan untuk mendapat nama atau kedudukan.
“Tapi yang lebih besarnya amanah ini supaya kalau kita lakukan, kita akan dapat keredaan Allah SWT. Inilah sebenarnya matlamat daripada kejayaan kita itu ialah melaksanakan tanggungjawab kita.
“Dan dipersoalkan pula di hadapan Allah SWT. Kesedaran ini amat perlu, ya sangat perlu supaya perjalanan kita terpelihara dan tak terkeluar daripada landasan yang ditentukan oleh Allah SWT.
“Jadi bukan untuk bermegah-megah, bukan untuk mencari kepentingan dunia. Tapi yang lebih penting kepada kita, kita mendapat dengan kejayaan ini keredaan Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











