RM1.5 juta untuk tukun tiruan perairan Kelantan

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi melaksanakan program penempatan 51 unit tukun tiruan (konservasi) di perairan negeri ini sebagai langkah memperkasa sektor perikanan dan pemuliharaan biodiversiti laut.

- Advertisement -

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia di bawah inisiatif Ecological Fund Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) yang merupakan program khas bermula pada tahun 2024 menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri Kelantan.

Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerja-kerja melabuh tukun dijalankan di beberapa kawasan pesisir termasuk Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh sebagai usaha menyediakan kawasan pembiakan ikan dan membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan.

“Bagi tahun ini, sebanyak 12 unit Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda (TDL-PT) telah dilabuhkan, masing-masing enam unit di perairan Pasir Puteh dan enam lagi di Bachok,” katanya semasa Program Melabuh Tukun Tiruan di Kompleks LKIM Tok Bali.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri itu berkata, setiap unit tukun yang dilabuhkan mempunyai berat 15 tan metrik dengan ukuran 2.6 meter tinggi dan 2.5 meter lebar serta panjang.

Ia dibina menggunakan konkrit bertetulang mengikut spesifikasi yang menepati garis panduan UNEP (United Nations Environment Programme) bagi penempatan tukun tiruan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Azahari Othman menyatakan, program tukun tiruan merupakan strategi utama dalam usaha pemuliharaan marin yang membawa manfaat besar kepada komuniti nelayan dan ekosistem laut.

Tuan Saripudin (tengah cermin mata) bergambar bersama dengan tukun tiruan yang akan diturunkan.

Beliau turut berkongsi dapatan kajian dijalankan oInstitut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) pada tahun 2020, menunjukkan satu tapak tukun tiruan mampu menghasilkan antara 129 kilogram hingga 6,047 kilogram biomass ikan, dengan nilai komersial tertinggi mencecah RM84,759.60.

“Secara keseluruhan, nilai ekonomi daripada 74 buah tukun tiruan yang dikaji dianggarkan sekitar RM6.2 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan tukun tiruan dalam menyokong keterjaminan makanan negara,” jelasnya.

Sehingga kini, sebanyak 318 unit tukun pelbagai jenis telah dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia sejak tahun 2007, melibatkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM6.46 juta.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Shaari Mat Hussain serta ADUN Semerak, Nor Sham Sulaiman dan ADUN Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin. – HARAKAHDAILY 7/7/2025

- Advertisement -