RM62 juta hasil NIT, pertimbang cukai petroleum

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu berjaya mengutip sebanyak RM62 juta hasil menerusi program New Income Terengganu (NIT) setakat 15 Jun lalu iautu bersamaan 23 peratus daripada sasaran keseluruhan sebanyak RM273 juta yang ditetapkan bagi tahun ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd NurKhuzaini Ab Rahman berkata, baki kutipan yang perlu dicapai sebelum hujung tahun ini masih berbaki kira-kira RM200 juta.

Menurut beliau, kajian semula cukai merupakan penyumbang terbesar setakat ini dengan jumlah kutipan RM42 juta daripada sasaran RM107 juta di mana serahan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dianggarkan RM5.7 juta, namun belum diterima kerana masih belum cukup tempohnya.

“Sumber galian mineral pula hanya mengutip RM6.6 juta setakat pertengahan Jun berbanding sasaran RM77.6 juta, manakala sumber air berjaya menyumbang RM13 juta daripada unjuran RM56 juta,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (PAS-Bandar) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Shah dalam soalannya meminta kerajaan negeri menyatakan pencapaian pendapatan NIT dan baki untuk mencapai sasaran tahun 2025.

Sementara itu, Nurkhuzaini berkata, kutipan daripada fi pelancongan dan rekreasi pula setakat ini hanya RM70,000 berbanding sasaran RM15.8 juta, manakala tiada kutipan direkodkan daripada sektor batuan dan teknologi hijau.

Mengulas mengenai potensi baru yang boleh menjana pendapatan baharu untuk negeri beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai petroleum, seperti dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

“Selepas lawatan ke Sabah baru-baru ini, kita mendapati mereka telah lama mengenakan cukai petroleum. Dalam jawatankuasa NIT yang terkini saya telah bangkitkan perkara ini dan di bawah penelitian pihak penasihat undang-undang untuk melihatnya.

“Sekiranya dengan keadaan yang sama, adakah kita boleh mengambil juga cukai petroleum seperti mana yang telah dibuat di Sabah dan Sarawak,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2025

- Advertisement -