
SAYA pernah mendengar temuramah bersama almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz menceritakan pengalamannya bertemu dengan pelabur. Sewaktu perbincangan, tiba-tiba azan zohor berkumandang, terus Tuan Guru bangun dan bersiap untuk solat zohor, pelabur lantas bertanya, kenapa Tok Guru tergesa-gesa, waktu Zohor kan masih panjang. Lantas Tuan guru menjawab, memanglaa dari sudut feqhnya waktu Zohor masih panjang, tetapi dari sudut tasawufnya solat kena awal waktu dan cepat. Azan dan solat adalah panggilan Allah kepada hamba-Nya. Oleh itu kita kena cepat menyahut panggilannya. Terdiam pelabur tersebut mendengar jawapan almarhum Tuan Guru.
Saya juga pernah mendengar salah satu ucapan Raja Dato’ Idris menceritakan bagaimana panduan daripada almarhum Tuan Guru Harun Taib untuk menguruskan TDM (salah satu anak syarikat kerajaan negeri). Apabila almarhum dilantik sebagai pengerusi syarikat, perkara pertama yang dibuat adalah mengeluarkan zakat syarikat yang belum dikeluarkan sebelum ini. Kedua, untuk operasi syarikat, tidak dibenarkan perniagaan dijalankan dengan pinjaman khususnya pinjaman berunsur riba. Untuk memastikan kelangsungan operasi, Almarhum Ustaz Harun meminta Raja Idris untuk mengeksploitasi konsep muamalah Islam berasaskan ‘Bai’ Assalam’ (konsep perniagaan secara tempahan awal, tetapi dibayar penuh dahulu, tempahan hantar kemudian dengan akad yang jelas). Akhirnya TDM berjaya keluar dari kerugian sehingga mencatat keuntungan.
Ini semua adalah panduan dari kepimpinan PAS terdahulu yang menekankan konsep beragama dalam pentadbiran sama ada dalam ibadat ataupun muamalah:
ٱلَّذِینَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡا۟ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ﴿ ٤١ ﴾
“Mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Ḥajj, Ayat 41)
قُلۡ إِنَّ صَلَاتِی وَنُسُكِی وَمَحۡیَایَ وَمَمَاتِی لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ﴿ ١٦٢ ﴾
“Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Al-Anʿām, ayat 162)
ZULHILMI ATTAKIRI – HARAKAHDAILY 7/7/2025
Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1BpMatVs57/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











