
KUALA TERENGGANU: Mercu tanda ikonik ‘Allah Peliharakan Terengganu’ di Bukit Besar yang dibina lebih tiga dekad lalu dijangka memerlukan kos keseluruhan RM5 juta untuk kerja baik pulih termasuk pembinaan semula.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, kerja perobohan struktur asal telah selesai pada 13 Mei lalu dengan kos RM250,000.
Beliau berkata, cadangan pembinaan semula telah dikemukakan Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana dengan anggaran kos RM4.75 juta.
“Rekabentuk baharu yang dibentangkan JKR telah dipersetujui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) setelah mengambilkira kos penyelenggaran serta teknologi semasa yang lebih kos efektif.
“Anggaran kos keseluruhan adalah RM5 juta termasuk kerja-kerja perobohan,” katanya ketika menjawab soalan Hilmi Harun (PAS-Manir) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau minta menyatakan status baikpulih ‘Allah Pelihara Terengganu’ di Bukit Besar dan jumlah kos baik pulih tersebut.
Menurut Hanafiah, mercu tanda tersebut dibina sekitar tahun 1991/1992 oleh JKR Negeri Terengganu dengan kos asal RM1.3 juta menggunakan struktur kerangka keluli, dan terletak di puncak Bukit Besar, di sini.
Namun katanya, selepas lebih 30 tahun, struktur berkenaan mengalami kerosakan serius akibat pengaratan dan hakisan disebabkan faktor persekitaran berhampiran laut.
Hanafiah berkata, laporan forensik JKR bertarikh 28 Ogos 2024 mendapati komponen struktur seperti perembat, sendi dan sambungan mengalami kegagalan setempat yang kritikal.
“Tindak balas pengoksidaan keluli telah tidak dilindungi dalam jangka masa panjang dan lapisan perlindungan telah gagal berfungsi, melepasi jangka hayat rekabentuk,” katanya.
Menurutnya lagi, kerja naik taraf pencahayaan dan penyelenggaraan elektrikal sebelum ini turut dihentikan kerana struktur platform yang tidak lagi selamat, sekali gus membahayakan pasukan selenggara. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











