
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sedang dalam proses mempertimbangkan dua permohonan baharu bagi membantu pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan bas di Gerik, Perak, baru-baru ini.
Permohonan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dan kini dalam penelitian bagi memastikan bantuan hanya disalurkan kepada pelajar yang benar-benar layak.
Maliaman Kassim berkata, pembiayaan sebanyak RM500 sebulan kepada dua anak angkat sebelum ini merupakan komitmen berterusan akan diteruskan sehingga pelajar menamatkan pengajian.
“Kita tengah meneliti sama ada layak ataupun tidak sebab tanggungan ini akan berterusan sampai ke tamat pengajian. Jadi lamalah proses itu. Kita juga telah angkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) supaya penerusan pembayaran itu akan berlangsung sampai habis pengajian.
“Maknanya kalau saya tak jadi exco pun pembayaran itu akan tetap diteruskan,” katanya Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri itu ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah meluluskan bantuan bulanan RM500 kepada dua pelajar UPSI yang turut terlibat dalam kemalangan sama, bermula bulan ini sehingga tamat pengajian peringkat ijazah.
“Seorang pelajar lelaki (Muhammad Adham Tuan Adnan) dipilih kerana mempunyai ibu bapa Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengalami masalah penglihatan dan penyakit kronik.
“Manakala seorang lagi pelajar perempuan (Nur Ain Najwa Mohd Ilias) merupakan anak yatim daripada keluarga miskin serta mempunyai ramai adik-beradik,” katanya.
Menurut Maliaman, kertas cadangan berkaitan bantuan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MMKN) pada 9 Julai ini untuk pengesahan dan mendapat persetujuan dasar daripada Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











