Perkasa bakat bola sepak belia patuh Syariah

Rohani menyampaikan sumbangan kepada salah satu pasukan yang menyertai Liga Ellit DUN
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 11 pasukan dari sekitar DUN Tanjong Mas akan mengambil bahagian dalam Liga Elit DUN Tanjong Mas 2025 yang dijadual bermula 14 Julai ini.

- Advertisement -

Penganjuran liga ini adalah sebahagian daripada inisiatif negeri melalui Liga Elit DUN Kelantan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2005 dan kini memasuki tahun ke-20.

ADUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan menyatakan komitmen penuh dalam menyokong penganjuran liga berkenaan.

“Bola sepak ialah sukan paling diminati di seluruh dunia. Kelantan tidak ketinggalan dalam mengarusperdanakan minat anak-anak muda ini. Namun, kita tekankan kaedah patuh syariah seperti menutup aurat dan menjaga solat,” katanya.

Rohani menegaskan bahawa meskipun Kelantan melaksanakan dasar “Membina Budaya Ilmu” (MBI), kerajaan negeri tidak sesekali menyekat minat anak muda dalam bersukan atau berhibur, asalkan ia mematuhi syariah.

“Segala kegiatan hendaklah mematuhi syariat agar ia diberkati Allah. Saya juga menyeru para pemain agar bermain dengan semangat kesukanan dan kasih sayang,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Liga Elit DUN ini telah berjaya meningkatkan kemahiran dan skil pemain tempatan sehingga mampu melahirkan pemain yang boleh diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.

Beliau telah menyampaikan sumbangan kepada semua pasukan sebagai sokongan dalam pengurusan dan kelengkapan asas pasukan masing-masing.

Setakat ini, sebanyak 45 DUN di seluruh Kelantan menyertai Liga Elit dengan menghimpunkan antara 10 hingga 15 pasukan bagi setiap DUN, membabitkan lebih 16,000 pemain keseluruhannya. – HARAKAHDAILY 7/7/2025

- Advertisement -