
KOTA BHARU: Perkhidmatan pengangkutan awam di Kelantan kini diberi nafas baharu menerusi pengenalan ‘Bas Pink’ di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) bagi mengembalikan semula fungsi utama bas dalam kehidupan harian rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, bas suatu ketika dahulu merupakan nadi utama mobiliti rakyat untuk ke sekolah, bandar serta merentas negeri.
Katanya, perubahan gaya hidup dan peningkatan pemilikan kenderaan persendirian menyumbang kepada kemerosotan penggunaan bas sejak beberapa dekad lalu.
“Sekarang ini semakin ramai memiliki kereta kerana harganya lebih mampu milik, tetapi dalam masa sama, jalan raya menjadi semakin sesak. Kerajaan negeri terus berusaha mencari penyelesaian terbaik.
“Menerusi kerjasama Kementerian Pengangkutan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat E-Mutiara, perkhidmatan Bas Pink diperkenalkan sebagai pilihan moden, mesra pengguna dan kompetitif,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini.
Menurut beliau, antara keistimewaan Bas Pink ialah sistem pembayaran fleksibel yang menerima tunai, kad dan e-dompet, kemudahan mesra OKU, pas perjalanan tanpa had, serta aplikasi dan laman web yang sedang dibangunkan bagi kemudahan pengguna.
Katanya lagi, bas itu akan beroperasi di 16 laluan utama termasuk laluan Kota Bharu ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, UiTM Machang dan Pengkalan Kubor.
Kekerapan perkhidmatan dijangka antara 30 hingga 60 minit, sesuai untuk pelbagai keperluan harian seperti bekerja, belajar dan menjalankan urusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan perkhidmatan ini serta menyeru rakyat Kelantan untuk menyokong dan menggunakan pengangkutan awam sebagai pilihan utama.
“Sokonglah pengangkutan awam demi mengurangkan kesesakan lalu lintas, menjimatkan kos dan memelihara alam sekitar,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang.
Terdahulu, Dato’ Dr Izani menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan, Bahagian Perancangan Polisi Mod Jalan APAD, Shahreel Riza Idris di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim.
Dalam pertemuan itu, Shahreel membentangkan pelaksanaan perkhidmatan BasMy Kota Bharu yang turut merangkumi penggunaan bas elektrik (EV) dan bas mini yang lebih sesuai dengan struktur jalan serta permintaan setempat.
Beliau turut memaklumkan cadangan untuk menambah laluan baharu yang menghubungkan kawasan padat penduduk serta institusi penting di sekitar Kota Bharu dan jajahan berhampiran.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Saizol Ismail.
Juga Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Polisi Mod Jalan APAD, Nur Sufiah Abdul Razak serta pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) dan Konsortium E-Mutiara Berhad. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











