
ALOR SETAR: Putri Qisya Nur Izzat, 12, tidak menyangka nasihat serta gurauan ibunya, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy beberapa bulan lalu, menjadi kenyataan.
Kata Putri Qisya, pada hari kematian adiknya Februari lalu, ibunya memberi nasihat agar jangan bersedih kerana itu baharu kematian adik dan bukan lagi ibunya.
“Tapi kalau umi juga mati nanti, kakak jangan nangis sebab kalau kakak nangis, adik-adik apa lagi. Tapi kalau umi nak pi (pergi), umi nak bawa semua sebab tak mahu menyusahkan orang.
“Di dunia pun ramai dah benci umi, umi tak mahu nanti di sana, pakat dok minta pahala umi,” katanya mengimbau gurauan ibu sebelum ini ketika ditemui media di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.
Putri Qisya berkata, pada malam sebelum ayah, ibu dan adik-adiknya bertolak ke rumah saudara mereka di Jitra, salah seorang adiknya memeluknya dengan erat.
Secara berseloroh, beliau berkata kepada adiknya agar tidak memeluknya terlalu kuat, tetapi adiknya dengan selamba menjawab, pelukan itu pelukan terakhir darinya.
Setakat ini Putri Qisya belum lagi membuat keputusan akan tinggal bersama siapa, selepas ibu, bapa dan adik-adiknya pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.
Sementara itu pada malam sebelum mayat ayahnya, Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, ibu dan empat orang adiknya ditemui, Putri Qisya berkata, beliau bermimpi berjumpa dengan ayahnya.
“Dalam mimpi tu, saya berbaring di atas paha ayah yang sedang duduk di sofa. Ayah pesan jangan sedih sebab ayah tak boleh jaga kakak dah lepas ni.
“Kemudian saya terjaga dari tidur. Esok paginya, saya diberitahu, kereta yang dipandu oleh ayah saya bersama keluarga saya dijumpai di Sungai Korok,” ujar beliau berkongsi cerita.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Dato’ Wan Romani Wan Salim, sempat bertemu Putri Qisya ketika hadir di HSB, lewat hari ini.
Pada pertemuan singkat itu, Dato’ Wan turut memberi kata semangat kepada beliau agar terus tabah dengan ujian Allah terhadapnya.
Mayat enam beranak yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, ditemui bersama kereta kepunyaan mereka Sungai Korok, Jitra, pagi tadi.
Mangsa dipercayai lemas dan tidak dapat menyelamatkan diri apabila kereta yang mereka naiki tenggelam di sungai berkenaan.
Terdahulu, mangsa enam beranak itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Jerlun, selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman, Jitra.
Mereka dilaporkan hilang apabila tidak menerima khabar berita selepas keluar dari rumah saudaranya, kira-kira pada jam 5.30 pagi pada Sabtu, 5 Julai lalu. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











