Anwar perlu disiasat, dihalang laksana tugas PM

Ezam (tiga dari kiri) selepas melakukan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk membuka satu kertas siasatan dan menahan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pelantikan Ketua Hakim Negara.

- Advertisement -

Bekas pemimpin PKR, Datuk Ezam Mohd Nor berkata, gesaan itu dibuat susulan kemelut itu melibatkan institusi penting negara iaitu badan kehakiman, di samping membabitkan seorang individu yang memegang jawatan Perdana Menteri.

“Kita merasakan adanya ‘sense of urgency’ apabila ada kes yang melibatkan Perdana Menteri dalam mahkamah yang masih belum dibicarakan. Jadi kita ada alasan untuk percaya.

“Ada kaitan penyalahgunaan kuasa Perdana Menteri ini dengan kes beliau melibatkan saman sivil yang dilakukan oleh seorang bernama Yusoff Rawther terhadap beliau yang ditangguh beberapa kali.

“Ini menguatkan kepercayaan kita bahawa tindakan mesti dilakukan segera oleh pihak polis,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali serta Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Mohammad Azamuddin Sahar.

Tegas Ezam, Anwar juga wajar dihalang daripada terus melaksanakan tugas Perdana Menteri kerana keberadaannya di pejabat mampu membawa implikasi kepada negara susulan kes saman dihadapinya itu.

“Anwar pernah menghadapi kes yang sama iaitu penyalahgunaan kuasa semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau didakwa kerana memeras ugut saksi-saksi dalam kes liwat beliau,” tegasnya.

Terdahulu, sembilan Ahli Parlimen PKR diketuai bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli mendesak satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan mahkamah.

Dalam satu sidang media pagi tadi, Rafizi mendakwa kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana membabitkan cubaan mempengaruhi lantikan Ketua Hakim Negara.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) dan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang).

Dua lagi ahli parlimen yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar. – HARAKAHDAILY 7/7/2025

- Advertisement -