
KALABAKAN: Semua jentera PAS di peringkat negeri, kawasan dan cawangan di seluruh Sabah kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Kawasan Kalabakan, Kamran Muhammad Bahron, persiapan itu digerakkan secara menyeluruh oleh Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat (JPP) melalui siri pemantauan intensif di semua kawasan.
Katanya, fokus diberikan kepada aspek penting seperti kesiapsiagaan jentera, pengurusan daftar pemilih, strategi kempen digital dan fizikal, serta pendekatan dakwah yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Tambahnya, jentera parti di kawasan itu telah memasuki fasa kesiapsiagaan penuh, hasil perancangan awal dan disiplin gerak kerja yang konsisten sejak awal tahun.
“Kehadiran JPP adalah satu medan muhasabah dan motivasi buat kami. Ia memberi peluang untuk memperkemas seluruh aspek gerak kerja dari daftar pemilih hingga ke pelaksanaan kempen akar umbi,” ujarnya.
Kamran turut menegaskan bahawa PAS hadir bukan sekadar untuk bertanding, tetapi bersedia untuk menang dengan membawa tawaran dasar yang adil, realistik dan berpaksikan perjuangan Islam yang tulen.
Katanya, slogan kempen PAS Kalabakan iaitu ‘Tanjung Batu Sejahtera: Kita Untuk Semua’, mencerminkan komitmen PAS untuk membela seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama, selari dengan prinsip Rahmatan Lil ‘Alamin yang diperjuangkan oleh parti.
“Kita datang bukan menawarkan janji kosong, tetapi membawa solusi yang adil, realistik dan berpaksikan nilai Islam untuk membela rakyat Sabah berbilang kaum dan agama yang dahagakan perubahan dan keadilan,” tegasnya yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri.
Sesi pemantauan oleh JPP turut melibatkan pembentangan laporan gerak kerja oleh unit-unit penting termasuk Muslimat, Pemuda, IT & Media serta Hal Ehwal Pengundi.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya I PAS negeri yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah bersama saf kepimpinan kawasan dan pengarah unit-unit utama pilihan raya.
Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya memaklumkan bahawa penggal semasa DUN Sabah akan tamat secara automatik pada 11 November 2025, menurut Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sabah.
“Sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal, maka DUN akan terbubar secara automatk pada tarikh itu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk mengadakan PRN baharu,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











