Raja Muda bersama dalam program kesihatan rakyat

Tuanku Syed Faizzudin beramah mesra dengan rakyat jelata
- Advertisement -

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Bersama Masyarakat bertemakan “Anak Sihat, Keluarga Sihat, Komuniti Sejahtera”.

- Advertisement -

Program yang merupakan inisiatif para pelatih Kejururawatan dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) itu berlangsung di Masjid Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), di sini hari ini.

Ia dijayakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr Ghazali Chik di mana program dimulakan seawal pagi dengan sesi senamrobik dikendalikan Unit Promosi Kesihatan JKN Perlis.

Ia disusuli Kayuhan MAIPs Peduli diketuai sendiri baginda, melibatkan sumbangan kepada tiga keluarga asnaf terpilih iaitu Othman Mohamad, 81, dari Kampung Repoh; Maimunah Othman, 75, dari Kampung Padang Behor dan Mohd Rondzan Abdul Latiff, 55, dari Kampung Tok Kandang.

Tuanku Raja Muda seterusnya berkenan melawat reruai pameran dan gerai jualan sebelum menyempurnakan simbolik perasmian program serta pelancaran logo baharu Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Baginda turut berkenan menyampaikan agihan zakat kepada 150 asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah MTSPJ, Kariah Alwi, dan Kariah Repoh dengan jumlah keseluruhan sumbangan disalurkan melalui MAIPs adalah sebanyak RM105,000.

Para penerima zakat turut berpeluang menjalani saringan kesihatan percuma, mengikuti ceramah motivasi bertajuk Bangun Jiwa Asnaf oleh MAIPs, serta mendengar ceramah Gaya Hidup Sihat yang disampaikan oleh JKN Perlis.

Dalam titah baginda, Tuanku menekankan pentingnya seluruh lapisan masyarakat berganding bahu bagi menjayakan agenda kesihatan negara melalui slogan “Sihat Milik Semua” seperti digariskan dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). – HARAKAHDAILY 6/7/2025

- Advertisement -