
KUALA KEDAH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disarankan mengambil jalan tuntas menyelesaikan beberapa masalah berbangkit berkenaan pendidikan negara, khususnya berkaitan guru-guru.
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, walaupun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek,
telah mengeluarkan kenyataan bahawa isu kekurangan guru telah selesai, namun isu-isu lain yang terkait dengan guru juga tetap ada.
“Kita ucapkan tahniah kepada Menteri KPM kerana berjaya menoktahkan hal yang sering diperdebatkan sejak sekian lama ini.
“Namun masih terdapat isu-isu yang yang terkait dengan para guru, masih ada dan memerlukan perhatian dan penyelesaian,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebagai contoh, soalnya, apakah dengan bilangan guru yang ramai dapat menyelesaikan isu ‘mismatch’, atau yang disebut sebagai salah padan antara keperluan bilik darjah dengan kelulusan graduan.
Malah, katanya lagi, adakah graduan segar jurusan pendidikan yang terpilih, rela menerima penempatan baru di pedalaman.
“Apakah pihak KPM telah membuat congak atau jangkaan tentang hal yang berhubung dengan kebajikan para guru yang ramai?
“Adakah KPM sedia mendengar dan menyelesaikannya seperti pertukaran tempat kerja atau elaun berkaitan dengan guru yang ramai ini?” soal Ahli Parlimen Kuala Kedah itu.
Mengulas lanjut, ujarnya pada 2024 lalu, KPM memaklumkan seramai 18,792 orang guru baru dilantik, manakala pada awal Disember tahun yang sama, seramai 7,645 orang guru tambahan ditawarkan menerusi Urusan Pengambilan Guru 2024 bagi pasaran terbuka.
Sementara, sebagai bandingan, ujarnya, KPM juga memaklumkan seramai 6,000 orang guru pula memilih bersara pilihan pada tahun sebelumnya.
“Persoalan ini berbangkit kerana rakyat sebenarnya tertanya-tanya ke manakah hala tuju sektor pendidikan acuan kerajaan Madani di tengah-tengah masyarakat hari ini?.
“Adakah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PHBN) mampu menggalas urusan pendidikan negara sesuai dengan trademark Madani itu? Inilah yang rakyat nak tahu,” tambahnya lagi.
Realitinya, kata beliau, para guru terbeban dengan tugasan yang banyak sehingga mengganggu kerja hakiki mereka dan hal itu perlu ada jalan keluarnya.
“Janganlah terkatup (tutup) isu ini, timbul pula hal lain. Tampung di sini, bocor di sana. Masalah tak selesai juga,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/7/2025











