
KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan kerajaan mengumumkan pembangunan kawasan Ambalat dengan kerjasama Indonesia, tanpa rundingan menyeluruh atau pembentangan di Parlimen, adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat Sabah.
Beliau berkata, kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli yang menyamakan isu Ambalat dengan kejayaan Malaysia dan Thailand dalam menguruskan Kawasan Kerjasama Pembangunan (JDA) adalah satu perbandingan silap dan boleh mengelirukan rakyat.
“Apabila Rafizi cuba menyamakan isu Ambalat atau lebih tepatnya blok MD7 dan MD6 dengan kejayaan Malaysia-Thailand dalam isu JDA, saya rasa itu merupakan perbandingan silap dan boleh mengelirukan rakyat,” ujar beliau susulan namanya dipetik Rafizi.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan bahawa JDA ialah kawasan pertindihan pelantar benua antara Malaysia dan Thailand yang jauh dari sebarang wilayah negeri, melainkan hanya laut dalam.
Sedangkan jelasnya, Ambalat terletak berhampiran Pulau Sipadan dan Ligitan yang sudah diputuskan sebagai milik Malaysia oleh Mahkamah Antarabangsa.
“Kedua, perbezaan ketara kalau kita tengok dari sudut tarikhnya, JDA dirunding lebih 20 tahun bermula pada tahun 1968 bila Thailand mula tuntut kawasan pelantar benua bertindih. Tahun 1979, Malaysia dan Thailand tandatangan MoU untuk membentuk satu badan bersama.
“Hanya pada tahun 1990, selepas proses panjang dan telus, barulah perjanjian MTJA (Akta Kerjasama Malaysia-Thailand) ditandatangani dan Akta MTJA diluluskan di Parlimen Malaysia dan Thailand,” dedahnya.
Menurut beliau, berbeza dengan Ambalat yang sempadannya belum selesai, namun Perdana Menteri sudah umumkan kerjasama bersama Indonesia melalui kenyataan media tanpa rundingan menyeluruh, perbahasan Parlimen atau penglibatan Kerajaan Negeri Sabah.
“Sebab itu rakyat Sabah perlu tahu bahawa ini merupakan suatu pengkhianatan Kerajaan Malaysia terhadap rakyat Sabah pada hari ini. JDA bentuk badan bersama yang sah iaitu MTJA. Wakilnya seimbang, suara seimbang dan digubal secara undang-undang.
“Ambalat tiada struktur rasmi, hanya kenyataan prinsip oleh dua orang pemimpin. JDA tidak menyerah kedaulatan. Kedua-dua negara kekal dengan tuntutan masing-masing tapi setuju untuk bangunkan kawasan secara bersama tanpa menjejaskan kedudukan tuntutan.
“Tapi dalam kes Ambalat, bila kita mula berkongsi kawasan yang kita sendiri isytihar milik kita sejak tahun 1979? Itu bukan sahaja mencurigakan, malah dilihat sebagai menyerah dalam diam-diam,” tempelaknya.
Beliau berkata, apabila Rafizi mendakwa kaedah itu berjaya kerana pernah dilakukan dengan Thailand, beliau tidak bersetuju kerana proses JDA dilakukan secara panjang, telus dan tanpa gadaian kedaulatan.
“Tetapi bila rundingan tidak libatkan Parlimen, tidak libatkan Sabah, dibuat tergesa-gesa, itu bukan kaedah. Itu menggadaikan kedaulatan negara. Saya ingin tegaskan bahawa kita tidak menolak pembangunan bersama. Itu lebih baik.
“Tapi kita tolak cara pengurusan isu Ambalat yang penuh dengan misteri dan terburu-buru. Peliknya, apa yang sangat tergesa-gesa sangat ni? Ke nak kejar, nak kumpul ‘cash’ untuk tujuan yang besar? Contohnya, barangkali untuk pilihan raya? Itu tekaan saya sahaja,” ujarnya.
Ustaz Ahmad Fadhli menegaskan bahawa membandingkan JDA dengan Ambalat adalah satu perbandingan yang silap dan salah, justeru beliau menuntut kerajaan membuat penjelasan terbuka kepada rakyat.
“Saya tuntut kerajaan buat penjelasan, bawa ke Parlimen, jelaskan apa terma-terma yang telah diputuskan dalam kes Ambalat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2025











