Ubatan PrEP bukan jawapan bendung masalah HIV

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak seharusnya memberikan fokus hanya kepada perubatan PrEP dalam usaha membendung masalah peningkatan HIV yang semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, isu utama ketika ini ialah perkembangan golongan songsang, khususnya golongan gay yang dilihat sebagai penyumbang utama kepada peningkatan kes jangkitan HIV dalam negara.

“Tidak mustahil peratusan pelajar IPT yang dijangkiti HIV itu adalah disebabkan penglibatan mereka dengan seks songsang. Oleh sebab itu, Dewan Ulamak PAS pernah mengingatkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Supaya tidak hanya sekadar melepaskan batuk di tangga dalam membawa penyelesaian isu jangkitan HIV ini. Kementerian tidak sepatutnya hanya memastikan data pesakit HIV menurun dengan pemberian ubatan PrEP.

“Tetapi pada satu sisi lain membiarkan gejala songsang berkembang dengan pesat. Pemberian ubatan PrEP dalam projek rintis beberapa tahun lalu adalah petanda Kementerian gagal menanggapi permasalahan sebenar isu jangkitan HIV,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya bimbang dengan laporan berkenaan penglibatan pelajar IPT yang direkodkan telah menghidap jangkitan HIV baru-baru ini, di mana rekod pada tahun lalu menunjukkan 222 pelajar positif penyakit berkenaan.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah berkenaan data yang menunjukkan majoriti daripada kalangan mereka terjebak pada usia awal remaja, 18-19 tahun lagi. Perkara ini mencetuskan kebimbangan.

“Mengenai keterbukaan dunia hari ini sehingga boleh menjerumuskan anak-anak muda kita ke kancah kerosakan yang parah meskipun belum sampai pada usia yang matang,” ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Justeru, pihaknya menggesa Kementerian Kesihatan supaya duduk semeja bersama-sama pemegang taruh yang lain seperti Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pengajian Tinggi.

“Ia bagi meneliti pendekatan terbaik menangani isu jangkitan HIV khususnya melibatkan para pelajar IPT. Sudah sampai masanya isu HIV ini diteliti termasuk mengambil kira kebejatan moral dengan gejala seks songsang yang begitu pesat berkembang kebelakangan ini,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni memaklumkan secara keseluruhan, sebanyak 1,091 jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024.

Beliau turut mengakui wujud kekangan dari segi akses remaja bawah umur kepada ujian kendiri HIV dan rawatan susulan kerana tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan mereka menjalani saringan tanpa kebenaran ibu bapa. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -