Politikus ‘kunci’ sistem, nyawa rakyat ‘terpadam’

- Advertisement -

GEORGETOWN: Dua beranak ditemukan tidak bernyawa dalam sebuah unit pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini, adalah tragedi menyayat hati yang menggambarkan kegagalan menyeluruh sistem sokongan sosial serta dasar kebajikan negara terhadap golongan rentan.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid berkata, insiden itu bukan sekadar satu lagi kes kematian, tetapi simbol kegagalan sistemik yang terus membelenggu masyarakat bandar, khususnya orang Melayu di Pulau Pinang.

“Ini bukan sekadar kisah kematian. Ini adalah simbol kegagalan dasar kebajikan, kegagalan jaringan sokongan sosial, dan kegagalan pemimpin yang lebih ghairah mengejar naratif politik berbanding mendengar rintihan senyap rakyat marhaen di flat-flat usang kota,” katanya.

Anas turut mempertikai keberkesanan peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang sepatutnya menjadi barisan hadapan dalam mengenal pasti serta menyantuni golongan berisiko.

“Timbalan Ketua Menteri yang sering melaungkan retorik memperkasakan masyarakat Melayu di Pulau Pinang kini perlu merenung cermin dan bertanya, apakah yang telah dilakukan untuk menyantuni golongan seperti ibu malang ini?” soal beliau.

Menurut laporan, mayat seorang wanita berusia sekitar 40-an bersama anak perempuannya yang baru berusia dua tahun ditemui dalam keadaan reput, selepas jiran memaklumkan bau busuk mencurigakan dari unit kediaman mereka.

Pihak bomba dan polis terpaksa memecah masuk pintu rumah yang berkunci rapat bagi membuat penemuan menyedihkan itu.

Anas turut mempersoalkan keberkesanan sistem amaran awal dan keupayaan penyampaian bantuan psikososial kepada rakyat yang dilihat sering gagal tiba pada saat genting.

“Seorang ibu yang mungkin bergelut dengan kemurungan ditinggalkan sendirian tanpa sokongan. Seorang anak kecil yang belum sempat mengenal dunia menjadi mangsa kepada runtuhnya sistem yang sepatutnya melindungi mereka,” ujarnya.

Katanya, tragedi ini tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil kerana realitinya ramai rakyat, khususnya masyarakat Melayu bandar, terus terperosok dalam tekanan hidup, kesepian dan kemiskinan tersembunyi, walaupun negeri ini terus gah dengan projek mega dan pencakar langit.

“Kita menuntut jawapan. Kita menuntut tindakan. Dan lebih daripada itu, kita menuntut keinsafan dari mereka yang diberikan kuasa,” tambahnya.

Beliau turut menyeru agar masyarakat tidak bersikap acuh tak acuh terhadap jiran tetangga, serta mendesak agar pemimpin menggunakan kuasa dan peruntukan yang ada untuk benar-benar menjaga kebajikan rakyat.

“Ingatlah bahawa TKM1, MPKK dan JPKK menerima imbuhan dari wang kutipan cukai rakyat. Maka kalian akan disoal di Padang Mahsyar kelak,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -