
KALABAKAN: PAS Sabah menegaskan bahawa isu tuntutan kawasan Ambalat oleh negara jiran Indonesia tidak boleh dipandang remeh atau dibiarkan berlarutan tanpa tindakan sewajarnya daripada pihak berkuasa negeri mahupun persekutuan.
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS negeri, Ahmad Dullah (foto atas) menzahirkan kebimbangan terhadap sikap membisu para pemimpin negeri berhubung isu yang melibatkan kedaulatan wilayah perairan Sabah itu.
“Kenapa pemimpin Sabah masih senyap? Jika Ambalat dilepaskan atau terus dibiarkan tanpa sebarang pembelaan, kita mungkin kehilangan satu kawasan perairan strategik yang sangat kaya dengan sumber hasil laut dan tenaga negeri,” tegas beliau dalam satu kenyataan media di Facebooknya hari ini.
Menurutnya, isu Ambalat bukan sekadar pertikaian sempadan atau teknikal undang-undang antarabangsa, tetapi membabitkan soal maruah, kedaulatan dan masa depan sumber negeri Sabah.
“Kita tidak boleh biarkan perkara ini hanya diselesaikan di meja rundingan tanpa tekanan politik dari Sabah sendiri. Pemimpin negeri mesti bangkit menyuarakan pendirian tegas bagi mempertahankan hak rakyat dan tanah air ini,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri supaya menyatakan pendirian rasmi serta mendesak kerajaan pusat untuk mengambil tindakan tegas dan proaktif di peringkat diplomatik mahupun perundangan antarabangsa bagi mempertahankan Ambalat sebagai sebahagian daripada wilayah Malaysia.
“Ini bukan masa untuk berdiam diri. Rakyat berhak tahu dan memantau perkembangan isu ini. PAS Sabah akan terus bersuara dan bersama rakyat dalam mempertahankan kedaulatan negeri ini daripada sebarang bentuk pencerobohan atau pencabulan hak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











