Ambalat: Gesa jaminan tidak jejas kedaulatan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menuntut kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai Perjanjian Pembangunan Bersama (Joint Development Agreement, JDA) di Blok Ambalat antara Malaysia dan Indonesia yang diumumkan pada 27 Jun 2025.

- Advertisement -

Beliau berkata, meskipun kerjasama ekonomi serantau wajar disambut baik, sebarang bentuk perjanjian pembangunan bersama di wilayah maritim yang masih menjadi pertikaian seperti Ambalat hanya boleh dilaksanakan dengan syarat-syarat tegas, berpaksikan prinsip undang-undang antarabangsa.

“Saya telah membangkitkan isu Ambalat di Parlimen pada 13 Jun 2023. Dalam soalan saya kepada Perdana Menteri, saya telah meminta beliau supaya memberi jaminan bahawa tidak ada seinci pun tanah negara kita yang akan dikorbankan dalam rundingan dengan Indonesia berhubung Ambalat. Beliau bersetuju,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri menjelaskan kepada rakyat apakah persetujuan yang telah dicapai dalam rundingan bersama Indonesia mengenai perkara itu.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, sehingga kini tiada penjelasan secara terperinci mengenai perjanjian tersebut dibuat oleh kerajaan dan mempersoal benarkah Malaysia tidak mengorbankan seinci pun wilayahnya dalam Perjanjian Pembangunan Bersama itu dan apakah terma-terma perjanjiannya.

“Tidakkah ia tidak menjejaskan kedudukan Malaysia dalam tuntutan kedaulatan ke atas Ambalat?” soalnya turut bertanya sama ada kerajaan negeri Sabah telah dirunding sebelum Malaysia dan Indonesia bersetuju terhadap perjanjian tersebut, memandangkan pertikaian Ambalat turut melibatkan sempadan negeri itu.

Menurutnya, perjanjian pembangunan bersama di wilayah pertikaian hanya boleh dilaksanakan berdasarkan prinsip Konvensyen PBB Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) dan tidak boleh dianggap sebagai penyerahan hak kedaulatan dalam apa jua bentuk.

“Ambalat telah menjadi titik pertikaian sejak tahun 1979 dan merupakan kawasan yang dituntut secara sah oleh Malaysia. Ia bukan sekadar zon ekonomi berpotensi, tetapi simbol ketegasan kita dalam mempertahankan sempadan maritim,” tegasnya.

Tambah beliau, sebarang pengumuman niat untuk pembangunan bersama tanpa kejelasan syarat, tanpa mandat Parlimen dan tanpa jaminan terhadap hak negeri Sabah merupakan langkah cuai yang boleh membawa kesan jangka panjang terhadap tuntutan sah Malaysia.

“Rakyat juga berhak bertanya adakah terdapat klausa yang membenarkan Malaysia menarik diri jika haknya dinafikan? Adakah Sabah dijamin bahagian hasil atau hak mentadbir sumber tersebut?

“Atau adakah tindakan ini hanya akan mengukuhkan tuntutan Indonesia melalui ‘pengiktirafan tersirat’ dalam perjanjian pembangunan bersama?” persoalnya.

Tegas beliau, sebarang kerjasama melibatkan wilayah pertikaian mesti ditangguhkan sehingga sempadan diputuskan secara sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau mana-mana saluran undang-undang yang diiktiraf.

“Kita tidak boleh membenarkan tindakan hari ini menjadi duluan berbahaya untuk masa depan dan implikasi serius jangka panjang terhadap kedaulatan negara.

“Hak dan maruah negara tidak boleh diperjudikan. Rakyat berhak menuntut penjelasan, jaminan dan keterlibatan penuh dalam sebarang keputusan yang menyentuh kedaulatan negara,” kupasnya.

Muhyiddin menegaskan, apa-apa tindakan yang melanggar hak dan kedaulatan negara boleh dianggap suatu penderhakaan kepada negara. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -