Jangan gadai kedaulatan negara tergesa-gesa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap tindakan kerajaan memeterai komitmen pembangunan bersama Blok Ambalat dengan Indonesia tanpa proses semak imbang yang telus.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, blok seluas lebih 15,000 kilometer persegi itu masih menjadi pertikaian sempadan maritim sejak 1979 dan bernilai nilai hampir RM211 bilion meliputi satu bilion tong minyak serta 40 trilion kaki padu gas.

“Malangnya, dua tahun selepas Triti Laut Sulawesi ditandatangani pada 8 Jun 2023, kandungannya masih dirahsiakan dan telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan ahli parlimen pembangkang dan rakyat Malaysia.

“Lebih membimbangkan, tatkala PETRONAS pada 17 Jun 2025 menegaskan akan mematuhi moratorium dan menunggu kelulusan penuh kerajaan sebelum memulakan sebarang aktiviti, kerajaan pula dilihat tergesa-gesa mengumumkan kerjasama dengan PERTAMINA di Jakarta.

“Tindakan ini dibuat tanpa penjelasan dalam sidang Parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang dan kerajaan Sabah yang masih menanti jawapan jelas tentang status sebenar Ambalat,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, pihaknya menuntut agar kerajaan segera membentangkan keseluruhan dokumen Triti Laut Sulawesi serta memorandum persefahaman pembangunan bersama Ambalat untuk dibahaskan secara terbuka dalam sidang Dewan Rakyat.

Tegas beliau, rakyat berhak mengetahui isi kandungan penuh perjanjian tersebut memandangkan ia melibatkan isu kedaulatan negara, keselamatan perairan dan khazanah strategik yang seharusnya tidak diputuskan secara tergesa-gesa atau bersifat sepihak.

“Tindakan tergesa-gesa yang diambil oleh (Perdana Menteri), Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini hanya mengukuhkan lagi sebab mengapa beliau tidak lagi layak memegang jawatan Perdana Menteri.

“Pemuda PAS akan terus komited memperjuangkan ketelusan dan mempertahankan kedaulatan negara agar tiada seinci pun hak milik Malaysia tergadai tanpa pengetahuan dan persetujuan rakyat,” katanya.

Anwar ketika mengadakan pertemuan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta baru-baru ini mendakwa kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -