Gesa dedah butiran isu Ambalat, Triti Sulawesi

Hamzah Zainuddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara, khususnya di kawasan maritim strategik seperti Blok Ambalat perlu dipertahankan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.

- Advertisement -

Menurut beliau, langkah kerajaan dilihat terburu-buru untuk melaksanakan pembangunan bersama negara luar di wilayah yang masih menjadi pertikaian boleh menjejaskan kepentingan nasional secara tidak langsung.

“Lebih menimbulkan persoalan, pengumuman pembangunan bersama di Ambalat ini dilihat berbeza dengan beberapa siri jawapan Perdana Menteri termasuk ketika isu mengenai Triti Sulawesi dan Ambalat dibangkitkan di Parlimen.

“Sehubungan itu, Perikatan Nasional menuntut butir-butir mengenai pembangunan bersama di Ambalat dan dokumen Triti Sulawesi dibahaskan di Parlimen kerana rakyat berhak tahu kedudukan sebenar isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto baru-baru ini menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang secara damai dan saling menguntungkan.

Pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka, Jakarta itu, Anwar mendakwa kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau nampaknya masih buntu sedikit perundingan dari segi hukum, peraturan dan undang-undang, maka tidak ada halangan untuk kita segerakan kerjasama ekonomi termasuk yang disinggung (Prabawo) mengenai ‘joint development authority’.

“Kalaupun di kawasan Ambalat, kerana kalau kita tunggu selesai kadang mungkin mengambil masa dua dekad lagi. Jadi kita manfaatkan waktu ini untuk mendapat hasil supaya memberi keuntungan kepada kedua-dua negara,” dakwanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -