
AYER KEROH: Ketua PEJUANG Negeri Melaka, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh mempersoalkan hasil laporan siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights yang dikatakan berpunca daripada struktur tanah lembut dan lembap.
Menurut beliau, rakaman penduduk jelas menunjukkan aktiviti pengorekan tanah dengan jentera berat dilakukan berhampiran kawasan paip gas, dengan bunyi gegaran dan kerja tanah telah dilaporkan sebelum letupan itu berlaku.
“Persoalan utama, kalau tak diganggu, paip itu meletup sendiri? ‘Act of god’ atau ‘act of gagal penguatkuasaan’? Dalam undang-undang tort, ‘act of God’ hanya boleh diguna jika kejadian itu luar jangkaan sepenuhnya.
“(Iaitu) berlaku tanpa sebarang campur tangan manusia dan tidak dapat dicegah walau semua langkah berjaga-jaga diambil. Letupan gas akibat kerja pengorekan tidak lulus mana-mana kriteria ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, insiden letupan yang berlaku akibat kerja pengorekan oleh jentera tidak selaras dengan pihak utiliti bukanlah satu takdir semula jadi, sebaliknya satu bentuk kecuaian nyata.
Ikhzan turut merujuk beberapa prinsip dan kes penting perundangan termasuk kes melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Batu Kemas Industri Sdn Bhd pada 2018 melibatkan tuntutan ganti rugi akibat kerosakan mesin kilang.
Jelasnya, walaupun tiada kebakaran berlaku, namun gangguan bekalan elektrik akibat kegagalan tanggungjawab pihak TNB selaku kontraktor tetap bertanggungjawab dan perlu memberikan ganti rugi.
“Ini membuktikan kalau ada kerja tanah, dan kesannya paip meletup itu bukan tragedi semula jadi, itu kecuaian yang patut dihukum. Jika kerajaan sudah awal-awal menutup pintu tanggungjawab dan mendakwa semuanya berlaku secara ‘ajaib’.
“Maka penduduk perlu bertindak. Lantik penyiasat bebas, pakar geologi, jurutera struktur, dan penasihat undang-undang. Sediakan laporan teknikal sendiri dan tuntut siasatan penuh dan pampasan sewajarnya melalui tindakan sivil,” ujarnya.
Tambah beliau, rakyat tidak sepatutnya dijadikan kambing hitam atas kegagalan sistem, di mana negara tidak boleh terus dibiarkan berada dalam keadaan di mana setiap tragedi berakhir tanpa sebarang pihak yang dipertanggungjawabkan.
“Kalau ini diterima, maka tiada siapa akan ambil berat tentang keselamatan awam, tiada keinsafan untuk baiki SOP dan penguatkuasaan dan rakyat akan terus jadi mangsa dan disuruh ‘reda’
“Bencana itu mungkin dari Tuhan. Tapi kecuaian, pengabaian dan kelalaian itu kerja manusia. Jangan samakan keduanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











