Perlu jawatankuasa bebas semak laporan Putra Height

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Khidmat Malaysia, Mohd Ashrul Hisyam Abdul Jalil menggesa agar satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyemak dan mengimbangi laporan sedia ada berhubung insiden letupan gas di Putra Heights pada 1 April 2025.

- Advertisement -

Katanya, Pertubuhan Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden letupan tersebut yang meranapkan sebahagian besar kediaman dan masih belum pulih sepenuhnya sehingga kini.

“Terima kasih diucapkan kepada agensi mahupun syarikat milik kerajaan (GLC) yang telah mengambil inisiatif untuk membina semula dan juga membantu dalam baik pulih kediaman mangsa yang telah musnah.

“Namun begitu, Khidmat Malaysia juga merasa terkejut dan kecewa bila mana merujuk kepada laporan rasmi berhubung kejadian tersebut yang dikeluarkan pada 30 Jun 2025.

“(Ia) yang kami anggap gagal menjawab persoalan-persoalan asas yang membelenggu penduduk setempat,” ujarnya turut mempertikaikan walaupun kronologi asas kejadian diberi tetapi ia masih mengelirukan dan terlalu umum kerana tidak memberikan butiran teknikal sebenar punca letupan.

Ia juga menurutnya, tiada penjelasan terhadap tahap pematuhan piawaian keselamatan, dan tidak menamakan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.

“Khidmat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kelewatan dan kelemahan dalam tindakan serta komunikasi pihak berwajib. Lebih malang, penduduk yang telah kehilangan tempat tinggal dan mengalami trauma.

“Mangsa juga mengalami kerosakan harta benda serta masih tidak mendapat jaminan pampasan. Juga tiada pelan pemulihan yang jelas serta yang paling penting setimpal dengan kerosakan yang dihadapi,” jelasnya.

Menurut beliau, Khidmat Malaysia menuntut agar pihak kerajaan dan agensi berkaitan tidak berselindung di sebalik laporan teknikal yang kabur, sebaliknya tampil dengan penjelasan terbuka dan komprehensif.

Katanya, persoalan utama masih belum dijawab ialah apakah punca sebenar letupan sekadar disebut sebagai ‘kebocoran gas’ tanpa diperincikan sama ada berpunca daripada kecuaian manusia, kerosakan sistem atau kelulusan pemasangan yang tidak sah.

“Keduanya, mengapa tiada sistem amaran awal atau pemantauan berkesan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan atau Suruhanjaya Tenaga? Ketiga, adakah penduduk pernah membuat aduan berkenaan bau gas sebelum kejadian serta jika ada, adakah tindakan segera telah diambil?

“Keempat, siapakah yang akan menanggung kos kerosakan harta dan rawatan mangsa yang cedera? Kelima, mengapa masih tiada seorang pun individu atau syarikat didakwa secara rasmi dalam tempoh 72 jam selepas kejadian?” soalnya.

Khidmat Malaysia menurutnya percaya bahawa ketelusan, keadilan dan keselamatan awam tidak boleh dikompromi dalam mana-mana keadaan, lebih-lebih lagi apabila nyawa dan harta rakyat menjadi taruhan.

“Khidmat Malaysia menggesa agar satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyemak semula laporan 30 Jun 2025 tersebut,” katanya.

Menurutnya, itu merupakan langkah penting memandangkan seluruh negara bahkan seluruh dunia memalingkan lensa ke arah isu itu selama tiga bulan dengan penuh kesabaran dan perasaan yang pelbagai.

“Di samping itu, Khidmat Malaysia secara konsisten mendesak agar bantuan kewangan yang setimpal dan sokongan psikososial disegerakan kepada semua mangsa tidak mengira status kerosakan mahupun status kependudukan mereka di kawasan terjejas bencana.

“Pastinya yang paling utama, individu atau entiti yang cuai perlu dikenakan tindakan undang-undang yang tegas tanpa kompromi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” ulasnya.

Beliau berkata, Khidmat Malaysia akan terus memantau dan membantu mangsa insiden ini, sambil menuntut keadilan dan ketelusan daripada semua pihak yang berwajib.

“Harus diingat, pendedahan rasmi siapa yang perlu dipertanggungjawabkan adalah sangat penting bagi memberi ruang kepada para mangsa membuat tuntutan penuh terhadap kerosakan, kehilangan dan kemusnahan harta benda masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -