Tragedi Putra Height: Perlu pengesahan pihak ketiga

Yusfarizal Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan hasil siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights yang dibentangkan baru-baru ini tidak wajar diterima tanpa sebarang pertimbangan kerana ia bukanlah satu tindakan bijak.

- Advertisement -

Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yusoff berkata, laporan itu sebaliknya perlu mendapat pengesahan daripada pihak ketiga, dengan kerajaan perlu mendedahkan laporan penuh berhubung insiden berkenaan.

“Kalau benar ia ‘act of God’, maka apakah kita hanya tunggu dan lihat? Merangka dasar dan undang-undang baru yang entah bila dapat dilaksana. Esok lusa ia mungkin boleh terjadi lagi, dan takkanlah kita masih menyalahkan tanah?

“Justeru, kerajaan perlu memberitahu dengan terperinci apakah pelan tindakan segera untuk membuat kajian, ujian dan pemantauan ke atas struktur perpaipan gas di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Yusfarizal dalam pada itu menyifatkan hasil siasatan yang menyimpulkan seoalah-olah tidak ada unsur jenayah, sabotaj dan kecuaian dalam insiden berkenaan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Jelas beliau, rakyat sebelum ini dihidangkan dengan fakta paip boleh tahan sampai 50 tahun, penyelenggaraan rutin ada dibuat dan sebagainya, namun kini berubah kepada tiada kecuaian oleh mana-mana pihak.

“Apakah pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa yang panjang tersebut tidak akan dapat dikesan sewaktu penyelenggaraan rutin? Tiadakah SOP untuk mengesan ekosistem sekitar paip selepas beberapa puluh tahun?

“Apakah maksud tekanan iklim? Sekiranya benar ada tekanan iklim (yang tentunya boleh dikaji dan dikenal pasti), apakah tiada usaha untuk mengkaji struktur paip tersebut yang kemungkinan terkesan lantaran daripada tekanan iklim tersebut?

“Kepadatan penduduk itu disebabkan apa? Bukankah ia faktor perancangan bandar? Tidakkah pembangunan sekitar kawasan perpaipan berisiko tinggi perlu perancangan khusus untuk mengelak kepadatan?” soalnya dalam kenyataan itu.

Laporan yang dibentangkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada Isnin mendedahkan letupan paip gas itu berpunca daripada ketidakstabilan tanah di kawasan berkenaan.

Pengarah JKKP, Husdin Che Amat berkata, bahagian bawah paip tidak disokong dengan mencukupi oleh tanah lembik dan lembap, menyebabkan segmen paip di lokasi kejadian mengalami kegagalan struktur. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -