Desak dedah senarai terperinci produk terlibat SST

- Advertisement -

AYER KEROH: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka, Bakri Jamaluddin menggesa kerajaan supaya lebih telus dengan mendedahkan senarai terperinci produk yang terlibat dalam pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

- Advertisement -

Katanya, pada 26 Jun, Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa buah epal dan oren import dikecualikan daripada perluasan SST, sebelum mengumumkan pula pada 27 Jun bahawa limau mandarin dan kurma turut dikecualikan.

Namun jelas beliau, isu utama ialah rakyat sebenarnya tidak begitu jelas mengenai item yang terlibat secara spesifik dan terperinci.

“Walaupun ada dinyatakan bahawa buah-buahan import dikenakan cukai, namun ada rakyat yang tidak tahu bahawa buah-buahan yang selalu mereka makan seperti kurma, epal, oren dan banyak lagi rupanya terlibat dengan perluasan cukai ini sebelum ditarik balik PMX.

“Rakyat keliru kerana dalam ucapan-ucapan yang dibuat oleh PMX dan pemimpin-pemimpin Kerajaan Madani membayangkan seolah-olah hanya buah-buahan kayangan seperti avokado yang berharga tinggi yang dimakan oleh orang kaya,” ujarnya.

Menurutnya, PMX dan pemimpin kerajaan juga selalu membayangkan bahawa orang miskin tidak akan terlibat dengan SST yang diperluaskan pada Julai ini, sedangkan buah-buahan import banyak yang merupakan buah-buahan rakyat.

“Apabila kerajaan tiba-tiba mengumumkan bahawa buah kurma, oren, limau mandarin dan epal ditarik balik dari senarai perluasan cukai maka rakyat miskin baru tersedar bahawa bukan buah-buahan orang kaya sahaja yang dicukai.

“Kerajaan tidak boleh hanya sekadar bersandar kepada terma ‘barangan import’ maka ia terus dianggap sebagai barangan mewah dan orang miskin tidak terlibat,” tegasnya.

Ahli Parlimen Tangga Batu itu turut mempersoalkan produk tempatan yang bekalan tidak mencukupi dan terpaksa diimport seperti buah pisang, buah mangga dan banyak lagi juga dikatakan akan dikenakan SST.

“Begitu juga dengan ikan, di mana apabila pemimpin-pemimpin kerajaan memberi contoh, mereka hanya menyebut ikan mewah seperti ikan kod dan ikan salmon.

“Sedangkan ikan-ikan spesies tempatan seperti ikan selar, cencaru, kembung dan banyak lagi yang diimport juga dikatakan akan dikenakan SST,” persoalnya.

Ujarnya, selama ini rakyat masih boleh lagi membuat pilihan dengan membeli ikan spesies tempatan yang diimport dan disejukbekukan dengan harga murah berbanding ikan segar tempatan spesies sama.

“Dengan pengenalan SST ini, harga ikan import sejuk beku akan jadi lebih mahal dari sebelum ini dan ia juga boleh menjadikan ikan segar juga mungkin naik harga,” jelasnya.

Katanya lagi, jika dilihat kepada senarai yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan, banyak daripadanya hanya dinyatakan dalam bentuk ‘contoh’ dan bukan senarai terperinci dan keseluruhan.

“Sebagai contoh, berkaitan perluasan SST bagi bahan asas binaan dinyatakan ‘Bahan asas pembinaan contohnya simen, batu, pasir’ tidak dikenakan SST.

“Adakah simen, batu dan pasir sahaja yang tidak dikenakan SST? Atau adakah bermaksud ia sebahagian daripada bahan binaan asas yang tidak terlibat dengan diperluaskan cukai?

“Atau hanya itu sahaja tidak terlibat SST sementara bahan asas binaan lain selain simen, batu dan pasir akan dikenakan SST?” soalnya.

Jelas beliau, sekiranya kerajaan tidak dapat mengeluarkan senarai penuh dan terperinci item-item yang terlibat dengan SST itu, dibimbangi rakyat tidak sedar bahawa ia sebenarnya dicukai.

Ia jelasnya lebih-lebih lagi tiada keperluan untuk peniaga mengisytiharkannya pada resit pembayaran, tidak seperti GST.

“Selain itu, ia juga akan menjadi alasan kepada peniaga-peniaga yang tidak jujur untuk menaikkan harga barang-barang yang berada dalam kategori yang sama atas alasan SST.

“Sedangkan produk itu mungkin sebenarnya tidak terlibat dengan peluasan baharu ini. Untuk mengatasi semua di atas, kerajaan harus segera mengeluarkan senarai terperinci item-item yang terlibat.

“Dan tidak sekadar memberi contoh sebahagian kecil darinya sahaja dan mengeluarkan kenyataan yang cuba melegakan rakyat sedangkan apa yang berlaku sebaliknya,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -