Perdana Menteri main-main dengan mahkamah?

- Advertisement -

KUANTAN: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Pahang menyatakan rasa kecewa terhadap sikap sambil lewa Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu pelanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan berkata, kegagalan Perdana Menteri memberikan penjelasan mencerminkan sikap tidak menghormati institusi kehakiman yang menjadi tunjang kedaulatan undang-undang negara.

“Rakyat Pahang tidak dapat menerima pendekatan pengurusan negara yang penuh ketidakpastian dan kekurangan akauntabiliti.

“Pelanjutan perkhidmatan hakim-hakim tertinggi telah menjadi kelaziman yang diterima pakai sejak sekian lama untuk memastikan kelangsungan dan kestabilan institusi kehakiman.

“Hakim-hakim tertinggi mempunyai hak untuk diberi pertimbangan munasabah bagi pelanjutan perjawatan mereka, sama seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Kegagalan kerajaan mengikuti amalan yang telah mapan ini menunjukkan ketidakkonsistenan dan sikap pilih kasih dalam pentadbiran keadilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, keengganan kerajaan membuat pengumuman terbuka mengundang syak wasangka berhubung campur tangan politik dalam urusan kehakiman, khususnya dikaitkan dengan spekulasi konflik dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

“Situasi ini semakin kritikal jika dikaitkan dengan spekulasi kemelut dalam JAC berhubung calon-calon jawatan tertinggi badan kehakiman. Jika benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip pemisahan kuasa antara cabang eksekutif dan kehakiman,” katanya.

PAS Pahang turut menegaskan bahawa badan kehakiman tidak sepatutnya dijadikan ‘medan permainan politik’ atau dijadikan alat kepentingan pihak tertentu.

“Maruah dan kebebasan institusi ini mesti dipertahankan tanpa kompromi kerana ia melibatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Rakyat Pahang mahukan kepimpinan yang menghormati kedaulatan undang-undang dan mampu membuat keputusan yang adil serta telus,” katanya.

Sehubungan itu, PAS Pahang menggesa Perdana Menteri segera tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung isu pelanjutan perkhidmatan dua jawatan tertinggi kehakiman itu.

“Keputusan ini mesti dibuat secara adil, telus dan berpandukan Perlembagaan serta amalan kehakiman yang mapan.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat jaminan bahawa institusi kehakiman negara akan terus bebas dan tidak terjejas oleh campur tangan politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -