
PUTRAJAYA: PAS Kawasan Putrajaya tidak menolak sebarang bentuk pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat dan memelihara alam sekitar, namun menegaskan ia perlu mematuhi dasar perancangan dan perundangan sedia ada.
Ketua Penerangan, Mior Isfandy Mior Azizan berkata, nama seperti ‘Kota Madani’ atau apa jua label politik lain perlu mematuhi dasar perancangan semasa dan lunas perundangan seperti Pelan Struktur Putrajaya dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
“Aspirasi pembangunan Putrajaya adalah menjadi sebuah bandar terancang, pintar, hijau dan mempunyai sistem pengangkutan berintegrasi serta menggamit tumpuan pelancong. Semua kawasan pinggiran termasuk Presint 19 adalah untuk menyokong kawasan utama Core Island,” katanya menerusi satu kenyataan.
Namun, menurut beliau, Perbadanan Putrajaya perlu menjelaskan identiti asal Presint 19 memandangkan kebanyakan tanahnya digunakan untuk ruang terbuka, rekreasi, infrastruktur dan Loji Rawatan Air Semenyih.
“Menurut Inisiatif 7.4 Pelan Struktur Putrajaya, setiap presint mempunyai keunikan identiti sendiri. Namun, kebanyakan identiti presint sudah tidak boleh dikenal pasti lagi dan dilihat sama antara satu sama lain.
“Apakah kerja-kerja yang sedang dilakukan di Presint 19 sekarang memandangkan terdapat papan tanda C I Readymix Sdn Bhd dan beberapa buah lori YTL Cement yang sering keluar masuk dari laluan Lebuh Wadi Ehsan?
“Adakah ia mengenai projek ‘Wet Mix Concrete Batching Plant’ di PT 14067, Presint 19? Adakah projek pertama yang akan dibangunkan di Kota Madani merupakan kuarters penjawat awam atau projek yang telah diluluskan iaitu Residensi Harga Bebas Kenanga?” soalnya.
Beliau dalam pada itu menyentuh Inisiatif 8.2 Pelan Struktur Putrajaya, di mana perbadanan itu dilihat tidak melibatkan pandangan awam terhadap sebarang perubahan struktur perancangan.
“Walhal, perkara tersebut amat disarankan dalam Agenda Tempatan 21 (Local Agenda 21). Tender projek juga disaran untuk ditangguhkan hingga pindaan Pelan Struktur Putrajaya dibentang dan diwarta semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











