DAP cipta naratif negatif untuk burukkan PAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah mendedahkan perubahan sikap ketara DAP terhadap PAS selepas kedua-dua parti tidak lagi berada dalam kerjasama politik.

- Advertisement -

Katanya, semasa bersama dalam satu gabungan, DAP sering menampilkan PAS sebagai parti yang sederhana dan terbuka, tetapi selepas menarik diri, nada mereka berubah sama sekali.

“DAP mula menggambarkan PAS sebagai eksklusif, ekstrem dan menakutkan sedangkan dasar kita tidak pernah berubah. Persepsi ini dibentuk kerana kita memilih untuk berdiri sendiri dan tidak tunduk kepada tekanan politik luar,” katanya.

Menurut beliau, naratif negatif yang dibawa DAP telah mempengaruhi sebahagian masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina yang secara tradisi meletakkan kepercayaan tinggi kepada parti itu.

“Segala tuduhan yang dilemparkan terhadap PAS mudah dipercayai walaupun tidak berpijak di atas kebenaran. Ia bukan datang daripada pengalaman sebenar rakyat bersama PAS, tetapi ditanam oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik,” ujarnya lagi.

Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, menegaskan bahawa PAS kekal dengan dasar Islam membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum dan agama.

“Kita tetap dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam, dan PAS mendukung gagasan ‘PAS For All’ bukan sekadar slogan, tetapi lahir daripada kefahaman sebenar ajaran Islam,” katanya.

Tambah beliau, pentadbiran PAS di Kelantan sejak lebih tiga dekad menjadi bukti bahawa Islam yang dibawa PAS adalah adil dan terbuka.

“Masyarakat Cina di Kelantan hidup dengan aman, bebas berniaga, bebas beragama dan menyambut perayaan mereka tanpa sebarang gangguan.

“Tiada kekerasan, tiada diskriminasi, tiada penindasan. Inilah wajah sebenar pentadbiran Islam yang kita laksanakan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan PAS adalah mendidik dan membimbing, bukan menghukum atau memaksa.

“Kita tidak memilih jalan keras. Kita dekati masyarakat dengan hikmah dan kasih sayang, sesuai dengan jiwa rakyat,” katanya.

Mohd Amar menyeru rakyat agar menilai PAS berdasarkan bukti pentadbiran sebenar, bukan semata-mata melalui persepsi yang dibentuk oleh musuh. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -