Rakyat kecewa, rasa tertipu selepas 30 bulan kerajaan PMX

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Roslan Shahir Mohd Shahir menyatakan kekecewaan terhadap kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya gagal menunaikan janji-janji pilihan raya selepas lebih 30 bulan memerintah negara.

- Advertisement -

Menurut penganalisis politik itu, dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), gabungan itu menjanjikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan mampan demi kesejahteraan holistik rakyat, termasuk menangani isu kos sara hidup.

“Dalam mukadimah manifestonya (Tawaran Harapan PRU15) disebut, ‘Selama lebih 30 bulan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), kepincangan dasar dan kepimpinan mereka telah membebankan rakyat.

“‘(Ia termasuk) mengabaikan cabaran generasi yang tercicir (lost generation) sementara kesenjangan masyarakat, dan krisis iklim kian meruncing’,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Roslan berkata, semasa berkempen, pelbagai janji ditaburkan oleh Presiden PH yang kini Perdana Menteri Ke-10 (PMX), antaranya penurunan harga minyak dan tarif elektrik di mana tular hingga kini.

Namun katanya, selepas PH yang dianggotai PKR, DAP dan PAN kini menguasai kerajaan campuran bersama BN dan parti-parti dari Borneo, persoalan utama yibangkitkan rakyat adalah mengenai pelaksanaan sebenar tawaran tersebut.

“BN khasnya pasti mahu cuci tangan kerana mereka boleh dakwa dalam kempen PRU ke-15 mereka melawan PH. Akan tetapi jangan mereka nafikan, pasca PRU itu mereka antara yang terawal melutut menerima tawaran PH untuk membentuk kerajaan campuran.

“Justeru mereka suka atau tidak juga perlu mendukung tawaran PH ini kerana mereka sekadar rakan kongsi yang kecil dalam kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata, rakyat kini mula membandingkan kerajaan PMX dengan pentadbiran terdahulu seperti Dato’ Sri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Mereka buat perbandingan kerana mereka merasakan hidup di bawah kerajaan-kerajaan dahulu jauh lebih sempurna, selesa dan tidaklah sejujurnya membebankan sebagaimana kerajaan PMX ini,” tegasnya.

Katanya, media sosial kini dipenuhi dengan pelbagai dakwaan dan klip video mengenai kesengsaraan rakyat yang semakin memburuk di bawah PMX, malah golongan muda dan mahasiswa juga sudah berani turun ke jalan menuntut beliau berundur.

“Kos hidup rakyat semakin membebankan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sedang gaji dan upah tidak berubah.

“Cukai GST yang dahulunya diperkenalkan Najib telah dibatalkan Anwar dan diganti dengan SST yang kononnya akan membawa kesan fiskal yang lebih cepat kepada negara.

“Malangnya SST yang bakal diperluaskan 1 Julai ini dilihat semakin membebankan hidup rakyat dan para peniaga. Itu belum mengambil kira tarif elektrik yang juga akan naik 1 Julai ini,” ulasnya.

Roslan mempersoalkan bentuk kesejahteraan yang dijanjikan oleh kerajaan Madani kerana rakyat kini berasa semakin terabai dan kecewa dengan janji yang didakwa tidak ditepati.

“Hidup rakyat bukannya menjadi semakin terbela seperti dijanjikan sebaliknya semakin terabai, rakyat gelisah dan kecewa. Salahkah mereka jika menyatakan bahawa mereka sebenarnya telah tertipu oleh janji-janji PH yang mendominasi kerajaan hari ini?

“Salahkah anak-anak muda menuntut Anwar turun dan letak jawatan kerana gagal?” soalnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -