
PADANG BESAR: Negara sekali lagi digemparkan dengan pendedahan mengejutkan berkaitan peningkatan kes jangkitan HIV, khususnya dalam kalangan remaja dan mahasiswa.
Pengarah Ameerah Perlis, Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohamad Halim, menyifatkan situasi ini sebagai isyarat jelas bahawa krisis sosial dan akhlak sedang membarah dalam kalangan generasi muda.
“Ini bukan sekadar angka, ini adalah tangisan sebuah generasi. Anak-anak muda yang sepatutnya menjadi harapan negara kini semakin terperangkap dalam kegelapan gaya hidup bebas dan songsang yang merosakkan akidah dan kesihatan,” katanya kepada Harakahdaily.
Terdahulu, laporan media arus perdana bertarikh 1 Julai 2025 mendedahkan bahawa seramai 222 orang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) disahkan positif HIV sepanjang tahun 2024, menjadikan jumlah keseluruhan sejak 2020 mencecah 1,091 kes.
Lebih membimbangkan, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tahun 2024 menunjukkan bahawa 64 peratus daripada 3,185 kes jangkitan HIV berpunca daripada hubungan sejenis, melibatkan aktiviti homoseksual dan biseksual.
Menurut Fatin Nasyuhada, penularan gejala sosial seperti ini bukan sahaja membuka pintu kepada penyakit berbahaya, malah membawa kemurkaan Allah SWT.
“Sebagai wanita muda yang dekat dengan denyut nadi anak muda, kami di Ameerah Perlis melihat situasi ini sebagai amaran serius yang tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pendekatan amar makruf nahi mungkar tidak boleh hanya bersifat reaktif atau sekadar ucapan di pentas ceramah, sebaliknya perlu bergerak secara proaktif, strategik dan penuh kasih sayang.
“Kita perlukan pendidikan seks berlandaskan syariat Islam, bukan untuk membuka ruang perbincangan murahan, tetapi untuk memberi kefahaman tentang batas halal haram serta kesan buruk perbuatan songsang dan bebas,” tegasnya.
Beliau juga menyeru agar anak muda hari ini tidak dihukum secara terbuka, sebaliknya perlu dibimbing kembali ke pangkal jalan dengan empati dan hikmah.
“Islam itu rahmat. Dan rahmat itu mesti disampaikan dengan cara yang menyentuh hati,” katanya.
Justeru, Ameerah Perlis menyokong penuh sebarang usaha penganjuran kempen kesedaran, program pengukuhan jati diri serta bimbingan spiritual bagi membina benteng akidah dan akhlak generasi muda.
“Kami sedia berganding bahu dengan mana-mana agensi, NGO dan institusi pendidikan demi menyelamatkan generasi pewaris masa depan daripada ancaman HIV dan keruntuhan moral,” jelas beliau.
Beliau turut menggesa agar isu ini tidak dipandang sebagai isu terpencil atau dijadikan bahan sensasi mingguan semata-mata.
“Jangan biarkan isu ini tenggelam begitu sahaja. Ini bukan isu individu, tetapi isu ummah. Dan kita semua memikul tanggungjawab bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











