PMX guna kuasa untuk kepentingan keluarga?

Pentadbiran penuh slogan, kosong prinsip

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam amalan nepotisme yang berlaku dalam pentadbiran Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, susulan kehadiran anak lelakinya dalam beberapa siri lawatan rasmi kerajaan termasuk ke Kazakhstan dan terkini ke Rom, Itali.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, perkara itu berlaku tanpa sebarang penjelasan rasmi daripada pihak kerajaan dan menggambarkan seolah-olah pentadbiran Madani semakin bertukar menjadi urus tadbir berunsur kepentingan keluarga.

“Rakyat berhak tahu. Apakah peranan sebenar anak Perdana Menteri dalam misi diplomatik kerajaan? Di bawah kementerian mana beliau berkhidmat? Apakah jawatannya?

“Atas kapasiti apa beliau menyertai pertemuan rasmi antara dua kerajaan? Dan lebih penting, siapa yang membiayai segala kos penglibatannya?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, itu bukan isu kecil atau sekadar hal keluarga, sebaliknya ia merupakan bentuk penyalahgunaan kedudukan, pelanggaran prinsip tadbir urus dan penghinaan terhadap etika perkhidmatan awam.

“Jika Perdana Menteri boleh dengan bangga mengumumkan pelantikan anak perempuannya sebagai penasihat kepada dirinya sendiri, kenapa beliau begitu takut untuk menjelaskan status anak lelakinya yang kini jelas berada dalam bayang-bayang kuasa?” soalnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu turut berkata, pentadbiran Madani kini hanya sekadar sarat dengan slogan tetapi kosong dari segi prinsip, apabila nilai-nilai integriti dan akauntabiliti diketepikan demi memberi ruang kepada kepentingan keluarga.

“Inilah wajah sebenar Madani, penuh dengan slogan, kosong dari segi prinsip. Apa yang dipertontonkan kepada rakyat kini bukanlah pentadbiran berasaskan integriti dan akauntabiliti, tetapi sebuah kerajaan keluarga yang membelakangkan sempadan antara amanah awam dan kepentingan peribadi,” tempelaknya.

Tegasnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia menolak budaya politik bobrok seperti itu dan menegaskan bahawa nepotisme adalah racun kepada demokrasi serta pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat.

“Jika Perdana Menteri masih enggan bercakap benar kepada rakyat, maka beliau tidak layak berbicara tentang reformasi, keadilan, atau integriti.

“Rakyat tidak perlukan kerajaan yang dipenuhi dengan sanak saudara di belakang tabir kuasa. Rakyat perlukan pemimpin yang jujur, bersih dan berani mempertahankan maruah jawatan, bukan menggunakannya untuk menjaga kepentingan anak-anak sendiri,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/7/2025

- Advertisement -