
KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat menyambut baik keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ketuanya, Balasubramaniam Nachiappan berkata, keputusan sebulat suara oleh panel sembilan hakim itu adalah satu kemenangan besar untuk hak asasi rakyat Malaysia dan kebebasan bersuara di negara ini.
“Menghukum individu atau penganjur perhimpunan aman dengan denda semata-mata kerana tidak memberikan notis lima hari kepada pihak polis adalah bertentangan dengan hak asasi yang dijamin oleh Perkara 10(1)(b) Perlembagaan, iaitu hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.
“Ia memperkukuh keyakinan rakyat bahawa Mahkamah Persekutuan berdiri teguh mempertahankan prinsip-prinsip Perlembagaan dan hak rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Balasubramaniam berkata, dalam suasana politik dan sosial negara yang semakin mencabar, keputusan ini memberikan sinar harapan bahawa suara rakyat masih mempunyai ruang sah dan dilindungi oleh undang-undang.
“Rakyat Malaysia, termasuk warga bukan Islam yang menjadi pendokong perjuangan PAS melalui DHPP amat menghargai ruang demokrasi ini,” katanya turut menyeru agar kerajaan segera meminda Akta Perhimpunan Aman 2012, khususnya Seksyen 11, agar selari dengan roh Perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan.
Juga tegasnya, tidak menyalahguna kuasa pihak berkuasa untuk menyekat suara rakyat yang berhimpun secara aman dan bertanggungjawab dalam apa jua tujuan dan matlamat himpunan diadakan selagi mana tidak melanggar undang-undang ditetapkan.
“Selain itu, menjalankan moratorium penuh terhadap pendakwaan sedia ada di bawah Seksyen 9(5) serta menggugurkan semua pertuduhan berkaitan,” katanya.
Justeru, DHPP akan terus komited untuk mempertahankan hak kebebasan berhimpun secara aman dan menyeru semua pihak menghormati perbezaan pandangan dengan adil dan saksama.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman yang berkaitan dengan keperluan memberikan notis untuk himpunan aman adalah tidak berperlembagaan.
Keputusan itu dibuat oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tunku Maimun Tuan Mat dalam prosiding yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang.
Dalam penghakimannya, Tengku Maimun menegaskan bahawa subseksyen 9(5) melanggar kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) serta prinsip kesamarataan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Kes ini berpunca daripada permohonan failkan oleh bekas Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abdul Hadi yang mencabar kesahan peruntukan itu susulan pendakwaan terhadapnya menganjurkan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ tanpa memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











