
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas bagi menyiasat insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu, susulan laporan siasatan yang dianggap tidak lengkap dan menimbulkan banyak persoalan.
Beliau berkata, laporan siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang dikeluarkan baru-baru ini menyatakan tiada unsur kecuaian atau pelanggaran teknikal dikenal pasti, dengan punca kejadian didakwa berpunca daripada faktor geoteknikal seperti tanah lembut.
Namun begitu katanya, maklumat awal daripada pihak polis mendedahkan bahawa terdapat kerja pengorekan bagi penggantian paip kumbahan hanya 30 meter dari lokasi letupan.
“Kerja ini melibatkan jentera berat termasuk sebuah excavator yang turut terbenam dalam letupan. Kawasan berkenaan berada dalam zon larangan saluran paip gas menjadikan aktiviti tersebut satu pelanggaran nyata terhadap peraturan keselamatan.
“Anehnya, laporan JKKP tidak menyentuh langsung aspek ini. Lebih mengejutkan, sehingga kini, identiti pemaju dan kontraktor yang terlibat masih belum didedahkan secara rasmi. Keengganan ini hanya menimbulkan persoalan sama ada wujud usaha menyembunyikan pihak yang bertanggungjawab.
“Saya memandang serius kesimpulan dalam laporan JKKP kerana ia menimbulkan keraguan terhadap ketelusan dan ketelitian siasatan. Secara asasnya, pemasangan saluran paip gas bertekanan tinggi memerlukan kajian geoteknikal yang mendalam serta kelulusan teknikal daripada pelbagai agensi sebelum dilaksanakan.
“Tambahan pula, saluran paip ini dibina mengikut spesifikasi tinggi, diselenggara secara berkala dan dipantau secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Selain itu kata beliau, rangkaian paip gas yang dikendalikan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) sentiasa diselenggara mengikut piawaian antarabangsa dengan jangka hayat melebihi 50 tahun.
“Malah, teknologi paip yang digunakan untuk laluan di dasar laut Terengganu yang jauh lebih mencabar dari segi tekanan dan struktur geologi, namun tidak pernah mengalami insiden seumpamanya.
“Maka, dakwaan bahawa tanah lembut menjadi satu-satunya punca kejadian adalah sangat meragukan khususnya apabila aspek gangguan luaran langsung tidak disentuh dalam laporan JKKP.
“Letupan ini bukan sekadar insiden teknikal tetapi merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang dan keselamatan awam. Pemaju dan kontraktor yang telah menandatangani perjanjian pembangunan wajib tampil memberikan penjelasan kepada rakyat.
“Cubaan mereka melepaskan tanggungjawab dengan mengalihkan kesalahan kepada pihak lain termasuk PETRONAS adalah sangat tidak wajar,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu turut meminta Kerajaan Negeri Selangor untuk tidak berdiam diri dan tampil memberikan penjelasan.
“Sebagai pihak berkuasa yang melulus dan memantau pembangunan di kawasan sensitif ini, kegagalan dalam aspek kelulusan permit, pemantauan tapak serta penguatkuasaan zon larangan jelas menunjukkan kelemahan kawal selia.
“Lebih mengecewakan, tiada sebarang maklumat rasmi dikeluarkan berkenaan perkembangan siasatan mahupun identiti pihak terlibat dengan kerja pengorekan.
“Sikap berdiam diri ini mencerminkan kegagalan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pentadbiran negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penubuhan segera sebuah Suruhanjaya Siasatan Bebas yang melibatkan pakar kejuruteraan, geoteknik dan perundangan yang benar-benar berkecuali bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh dan telus.
“Laporan penuh siasatan JKKP serta sebarang maklumat berkaitan perlu didedahkan kepada umum. Kegagalan untuk berbuat demikian hanya akan mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan negeri.
“Khususnya apabila terdapat pelbagai bukti dan maklumat daripada orang awam yang menunjukkan kemungkinan wujud kecuaian yang cuba disembunyikan.
“Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan memastikan setiap pihak yang bersalah dipertanggungjawabkan tanpa pengecualian,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2025











